Kuala Lumpur: Syarikat penerbit digital terkemuka di Malaysia, REV Media Group (REV) melancarkan kempen Halal Travel, satu inisiatif baharu yang dirangka khusus bagi membantu pengembara Muslim mendapatkan pengalaman percutian yang lebih selesa, beretika dan selari dengan nilai Islam.
Kempen yang bermula Mei hingga Disember tahun ini itu diterajui empat platform digital utama di bawah REV iaitu My Resipi, Sirap Limau, VOCKET dan Waktu Solat Malaysia.
Menerusi kerjasama empat jenama berkenaan, Halal Travel tampil sebagai rujukan lengkap untuk makanan halal, tempat ibadah, destinasi mesra Muslim dan panduan budaya bagi mereka yang merancang untuk bercuti sama ada dalam atau luar negara.
Penulis Kanan Kandungan Tajaan REV, Muhamad Shaifullah Tayep berkata, walaupun Islam menggalakkan umatnya mengembara, ramai pengembara Muslim berdepan cabaran seperti kesukaran mencari makanan halal dan ruang solat.
“Melalui Halal Travel, kami mahu membantu umat Islam mengembara dengan yakin dan tenang. Kami menyediakan kandungan dan panduan yang praktikal bukan sekadar inspirasi, tetapi maklumat sebenar yang boleh digunakan sepanjang perjalanan,” katanya.
Empat platform, satu misi
Setiap platform memainkan peranan tersendiri dalam menjayakan kempen ini.
My Resipi mengetengahkan makanan halal dan resipi tempatan, manakala Sirap Limau memberi fokus kepada percutian keluarga dengan destinasi mesra kanak-kanak serta petua buat ibu bapa.
VOCKET pula menyasarkan pengembara solo dan ‘backpacker’ dengan idea percutian bajet, lokasi tersembunyi dan makanan jalanan halal.
Waktu Solat Malaysia melengkapkan semuanya dengan maklumat solat masa nyata serta arah kiblat.
Muhamad Shaifullah berkata, pihaknya mahu menjadikan Halal Travel sebagai teman digital untuk semua pengembara Muslim.
Fasa kempen ikut musim
Halal Travel akan berlangsung dalam tiga fasa mengikut tema berbeza.
Fasa pertama dari Mei hingga Jun mengetengahkan percutian bajet, diikuti fasa kedua dari Julai hingga September yang fokus kepada percutian spiritual dan kesihatan.
Fasa ketiga yang bermula Oktober hingga Disember pula memberi tumpuan kepada percutian keluarga sempena cuti sekolah hujung tahun.
Halal Travel turut menyediakan laman mikro khas di www.myresipi.com/halaltravelmy yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk maklumat makanan halal, tempat ibadah dan cadangan aktiviti percutian.
Pengguna juga boleh mendapatkan jadual waktu solat serta penentu arah kiblat yang dikuasakan Waktu Solat Malaysia.
Muhamad Shaifullah berkata, Halal Travel bukan sekadar tentang makanan, ia tentang rasa dihormati, mudah beribadah dan selesa walau di mana pun berada.
“Kami berharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya perancangan perjalanan yang mematuhi prinsip Islam selain membantu pelancong Muslim membuat pilihan lebih bermaklumat,” katanya.
Orang ramai yang berminat boleh melayari www.myresipi.com/halaltravelmy atau ikuti My Resipi, Sirap Limau, VOCKET dan Waktu Solat Malaysia di Facebook, Instagram serta TikTok untuk tip, panduan dan kemas kini terkini.
© New Straits Times Press (M) Bhd