Kena fitnah lagi, Puteri Sarah hantar surat tuntutan

Kena fitnah lagi, Puteri Sarah hantar surat tuntutan

KUALA LUMPUR – Pelakon, Puteri Sarah Liyana nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang membuat fitnah dia melakukan maksiat atau bersekedudukan.

Ujar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 39, sudah mengesan individu berkenaan mengenai tindakan susulan peguamnya yang akan menghantar surat tuntutan atau Letter Of Demand (LOD).

Walaupun individu tersebut telah menukar nama dan gambar profil akaun Facebook, peguam yang mewakili dirinya masih dapat mengesan identiti tersebut.

“Lain kali jangan komen menghina, menuduh aku bermaksiat. Dah PM (mesej) kau, pengecut pula. Dasar netizen pengecut locked profile. Terus tukar nama Facebook (FB),” katanya menerusi perkongsian dalam Facebook.

Puteri Sarah yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu turut menunjukkan paparan tangkap layar pemilik akaun media sosial yang disifatkan biadab.

Menerusi hantaran sama, Puteri Sarah turut menasihatkan netizen untuk menjaga adab sebelum meninggalkan sebarang komen terutama yang boleh menjurus fitnah.

“Jadilah netizen yang berhemah (dengan) menjaga penulisan,” ujarnya.

Sebelum ini, pelakon terbabit sudah mengheret beberapa individu ke mahkamah atas dakwaan fitnah termasuk seorang wanita membabitkan saman mencecah RM1 juta. – MalaysiaGazette

Scroll to Top