Kena kental di set penggambaran – Fizz Fairuz

Kena kental di set penggambaran – Fizz Fairuz

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Pelakon baharu jangan bersikap ‘manja’, suka mengadu bila dimarahi kerana mereka harus kental di set penggambaran,” kata pelakon dan penyampai radio terkenal, Datuk Fizz Fairuz, 45, ketika diminta mengulas isu buli babitkan pelakon baru yang diperkatakan dalam industri seni ketika ini.

Fizz yang sudah dua dekad berkecimpung dalam bidang seni sejak 2004 berkata, isu buli di lokasi penggambaran adalah perkara biasa yang harus dilalui semua anak seni.

“Saya sudah melalui semua itu ketika mula-mula berlakon dulu. Saya sudah puas terima makian, dimarahi serta skrip dicampak ke arah muka.

“Malah, saya juga pernah ditampar pelakon senior ketika di lokasi. Tapi hari ini, saya jadi ‘orang’ atau tidak? (berjaya jadi pelakon),” katanya kepada Harian Metro.

Fizz ditemui pada program Intuisi Emas Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33) di Datum Jelatek, Kuala Lumpur, di sini, baru-baru ini.

Mengenai isu buli lagi, kata Fizz, pengalaman pahit manis dilalui itu membantu seseorang anak seni menjadi pelakon hebat dan dihormati pada masa depan.

“Kalau anda mahu jadi pelakon, kenalah hadap semua itu.

“Bagi saya, itu satu proses pembelajaran yang berguna untuk saya sebagai pelakon,” katanya.

Menurut Fizz, pengarah atau pelakon ‘senior’ tidak akan sewenang-wenangnya ‘naik hantu’ di set penggambaran.

Katanya, ada sebab yang membuatkan mereka bersikap sedemikian.

Terdahulu, timbul isu buli di set penggambaran membabitkan pelakon junior dan senior yang didakwa oleh seorang pelakon baru-baru ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top