“Kena Kuat Untuk Anak-Anak…” – Pesanan Terakhir Along Eyzendy Buat Isteri Sebelum Pergi Selamanya Meruntun Jiwa

“Kena Kuat Untuk Anak-Anak…” – Pesanan Terakhir Along Eyzendy Buat Isteri Sebelum Pergi Selamanya Meruntun Jiwa

Pemergian pelakon Allahyarham Along Eyzendy nyata meninggalkan kesan mendalam buat insan tersayang, terutama balunya, Hamidah Mohd Yatim, 47, yang kini tabah meneruskan kehidupan bersama anak-anak.

Menurut Hamidah, arwah suaminya sudah lama berpesan agar dia sentiasa kuat andai suatu hari terpaksa hidup tanpanya.

“Along memang selalu pesan supaya saya jadi kuat sebab ada anak-anak. Kena teruskan hidup juga kalau tak ada dia. Macam mana pun, ‘life must go on’.

“Memang itu pesanan yang dia selalu titipkan, bukan waktu dia sakit sahaja, malah sejak dulu lagi.

“Setiap kali dia nak keluar bekerja atau pergi out station, mesti dia ingatkan saya supaya jaga diri dan anak-anak,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Jenazah allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Pasir Gudang, Johor pada jam 9.30 pagi Ahad.

Terdahulu, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang pada Jumaat lalu akibat demam serta batuk berpanjangan.

Keadaan kesihatannya bagaimanapun merosot apabila doktor mengesyaki berlaku jangkitan kuman pada stent di saluran hempedu.

Along atau nama sebenarnya Mohd Eyzendy Mohd Aziz menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.16 tengah malam tadi di sisi ahli keluarga selepas ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Untuk rekod, pada 2019 arwah pernah disahkan mengalami kegagalan buah pinggang dan menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada 15 April 2021 hasil sumbangan organ daripada isterinya sendiri.

Sumber: Harian Metro

Scroll to Top