kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kenaikan premium insurans perubatan yang semakin tinggi dilihat menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan pakar perubatan dan rakyat Malaysia.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, walaupun kenaikan premium adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, ia perlu dilaksanakan dengan munasabah dan tidak membebankan rakyat.
Katanya, kenaikan premium insurans perubatan yang tinggi juga boleh memberi kesan buruk terhadap keputusan pesakit untuk mendapatkan rawatan.
“Terutama bagi mereka yang menghadapi masalah kewangan, beban kewangan ini boleh menyebabkan mereka memilih untuk tidak menyertai skim insurans.
“Apabila premium insurans meningkat, ramai yang tidak mampu membayar dan terpaksa bergantung kepada fasiliti kerajaan.
“Ini akan meningkatkan beban kepada hospital dan klinik kerajaan yang pada akhirnya boleh menjejaskan kualiti rawatan yang diberikan,” katanya kepada Harian Metro.
Selain itu, katanya peningkatan bilangan pesakit yang datang ke fasiliti kerajaan juga akan memberi tekanan kepada staf perubatan, menyebabkan mereka lebih stres dan bakal mempengaruhi kualiti kerja.
“Kerajaan perlu segera mencari penyelesaian yang berkesan agar sistem kesihatan awam tidak runtuh dan rakyat tidak menjadi mangsa,” katanya.
Dr Zainal berkata, kenaikan premium yang tinggi turut memberi impak langsung terhadap sistem kesihatan awam.
Beliau berkata, dengan peningkatan bilangan pesakit yang tidak mampu membayar rawatan, sistem kesihatan awam akan semakin tertekan.
Beliau menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan penambahan sumber atau mengubah cara kerja dalam menangani situasi ini.
“Kerajaan perlu memberi sokongan kepada pihak swasta, di mana kerajaan kena menambah sumber atau berikan sebahagian beban kepada pihak swasta dan kos itu ditanggung oleh kerajaan.
“Ini boleh membantu mengurangkan tekanan terhadap hospital kerajaan yang kini sudah berdepan dengan masalah kekurangan sumber,” katanya.
Beliau berkata, kenaikan premium insurans perubatan yang tinggi bukan saja menambah beban kewangan kepada rakyat, tetapi juga memberi impak besar kepada sistem kesihatan awam yang sudah pun berdepan dengan pelbagai cabaran.
“Keputusan segera dan langkah yang lebih berkesan amat diperlukan untuk memastikan sistem kesihatan negara tetap utuh dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




