Kenali isyarat awal

Kenali isyarat awal

asmaini@mediaprima.com.my

BAGI kebanyakan wanita khususnya golongan ibu, kesihatan diri sering diabaikan demi mengutamakan tanggungjawab terhadap keluarga.

Antara ancaman kesihatan paling berbahaya, namun sering tidak disedari wanita adalah kanser ovari. Di Malaysia, kanser ovari adalah kanser keempat paling kerap berlaku dalam kalangan wanita dan menduduki tempat kelapan di peringkat global.

Apa yang membimbangkan, kira-kira 70 peratus kes hanya dikesan ketika sudah mencapai tahap lanjut di mana kanser sudah merebak dan rawatan menjadi rumit.

Menurut Pakar Perunding Sakit Puan, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr Tan Teck Sin, pengetahuan dan kesedaran adalah senjata penting untuk mengubah statistik berkenaan.

Ia bagi membolehkan golongan ibu menyampaikan maklumat penting mengenai penyakit berkenaan kepada anak perempuan mereka.

Kata Dr Tan, kanser ovari digelar ‘pembunuh senyap’ kerana pada peringkat awal penyakit itu biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala.

Ramai wanita berasa sihat dan terus menjalani aktiviti harian tanpa menyedari adanya masalah kesihatan yang serius.

“Apabila gejala mulai muncul, selalunya kanser sudah berada di tahap yang serius.

“Ini sebahagiannya disebabkan ovari yang terletak di dalam rongga abdomen dan sukar diakses dan tidak mudah dikesan atau dirasai semasa pemeriksaan rutin,” katanya.

Dr Tan berkata, gejala yang muncul selalunya tidak jelas dan mudah disalah anggap sebagai masalah penghadaman atau kitaran haid.

Ia seperti kembung perut berterusan, ketidakselesaan pada bahagian abdomen, pembesaran abdomen yang ketara, hilang selera makan dan dalam kes yang lebih serius, kesukaran bernafas.

“Gejala-gejala ini terlalu umum sehinggakan pesakit biasanya mendapat rawatan daripada pengamal perubatan umum, pakar perubatan dalaman, pakar bedah umum atau pakar gastroenterologi sebelum dirujuk kepada pakar sakit puan.

“Keadaan itu akan melambatkan diagnosis dan membawa kepada akibat yang serius,” katanya.

Meskipun kanser ini boleh menyerang sesiapa sahaja, namun terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko berkenaan seperti usia, masalah kesuburan atau tidak pernah melahirkan anak, sejarah keluarga dengan kanser ovari atau payudara serta mutasi gen tertentu seperti BRCA1 dan BRCA2 (gen yang membawa risiko lebih tinggi untuk kanser payudara dan ovari).

Faktor lain yang mungkin kurang ketara adalah kitaran haid bermula terlalu awal, menopaus lewat dan endometriosis.

Kira-kira 25 peratus kes kanser ovari tertentu juga berkait rapat dengan faktor keturunan justeru ujian genetik penting bagi wanita yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser.

“Bagaimanapun, saringan genetik perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana ia boleh memberikan kesan terhadap perkara lain seperti perlindungan insurans.

“Selain itu, trend terkini dalam kalangan wanita muda khususnya Generasi Z yang memilih gaya hidup DINK (Dua Pendapatan, Tiada Anak).

“Itu adalah hak masing-masing, tapi masyarakat perlu tahu bahawa kehamilan boleh mengurangkan risiko kanser ovari serta kanser rahim, jadi perbincangan antara ibu dan anak perempuan mengenai kesihatan reproduktif adalah penting,” katanya.

Sehingga kini masih belum ada kaedah saringan yang benar-benar berkesan untuk mengesan kanser ovari.

Ujian seperti ultrasound transvagina dan penanda tumor CA-125 (ujian darah bagi mengesan tahap protein yang meningkat dalam kes kanser ovari) boleh membantu, tetapi tidak 100 peratus tepat.

Ini kerana kata Dr Tan, ada kalanya ujian seperti itu boleh memberi keputusan positif palsu yang boleh menyebabkan pembedahan (yang tidak diperlukan).

“Disebabkan itu, pendidikan dan kesedaran menjadi lebih kritikal.

“Kita perlu mengajar wanita untuk lebih peka terhadap tubuh mereka dan bertindak cepat walaupun hanya mengalami gejala kecil.

“Seorang ibu yang tahu tanda-tanda ini boleh melindungi diri sendiri serta mendidik anak perempuannya, warisan sebegini lebih berharga daripada harta,” katanya.

Sementara itu, rawatan untuk kanser ovari biasanya membabitkan pembedahan dan kemoterapi.

Walaupun pembedahan masih kekal sebagai rawatan utama, teknik pembedahan invasif minimum (MIS) semakin mendapat perhatian.

Namun, kata Dr Tan, penggunaan MIS masih terhad dalam rawatan kanser ovari, walaupun pada peringkat awal.

“Bagi pesakit muda yang masih berada pada peringkat awal, mereka ada pilihan untuk mengekalkan kesuburan.

“Kita boleh pertimbangkan pembedahan pemeliharaan kesuburan, atau kriopreservasi (pembekuan) telur atau tisu ovari sebelum rawatan.

“Sayangnya, kemudahan ini masih terhad di Malaysia dan rawatan kanser memerlukan pendekatan secara menyeluruh iaitu kerjasama pakar onkologi, doktor paliatif, pakar radiologi, pakar kesuburan, serta kakitangan sokongan seperti jururawat onkologi dan fisioterapi,” katanya.

Pesakit kanser ovari

Lee Yoke Woon, seorang ibu berusia 59 tahun, pada mulanya menganggap gejala yang dialaminya hanyalah jangkitan saluran kencing biasa.

Katanya, dia hanya mengalami sakit perut yang tidak begitu teruk dan kemudiannya disahkan menghidap kanser ovari pada Jun 2020.

“Ia memang mengejutkan kerana saya selalu dikenali sebagai seorang yang sihat.

“Diagnosis ini memberikan kesan besar kepada keluarga terutama anak perempuan.

“Namun, pada masa sama, ujian itu mengeratkan lagi hubungan keluarga kami dan mendorong perubahan ke arah gaya hidup yang lebih sihat,” katanya.

Menurut Yoke Woon, dia bertuah mendapat sokongan tidak berbelah bagi daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.

Katanya, pengalaman melawan kanser ovari bukan sekadar mengenai peluang kedua tetapi ia titik permulaan untuk melindungi anak perempuannya melalui kesedaran kesihatan.

“Sebagai ibu, saya mahu melindungi anak kerana didiagnosis, saya sedih melihat anak perempuan yang begitu terkejut.

“Pengalaman ini membawa perubahan besar dalam hidup dan mereka menjadi lebih peka terhadap kesihatan serta mula berbincang secara terbuka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top