Tinggal tetapi terjaga

Tinggal tetapi terjaga

asmaini@mediaprima.com.my

Aidiladha bakal disambut Sabtu ini dan pastinya ramai mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman untuk berkumpul selain ada yang menunaikan ibadah korban.

Bagi yang tidak memiliki haiwan peliharaan, situasi mereka lebih mudah kerana tidak terikat dengan sebarang tanggungjawab jika mahu meninggalkan rumah dalam tempoh tertentu.

Namun, bagaimana pula dengan mereka yang membela haiwan kesayangan seperti kucing di rumah?

Untuk memastikan si bulus kesayangan selamat dan selesa ketika anda pulang ke kampung, pastikan beberapa keperluan ini disediakan sebaiknya:

Kesihatan si bulus

Pastikan kucing kesayangan anda dalam keadaan sihat sekiranya mahu meninggalkannya di rumah atau di hantar ke hotel kucing.

Jangan sesekali meninggalkan haiwan peliharaan yang sakit sendirian kerana ia juga makhluk bernyawa dan kebajikannya perlu dijaga sebaik mungkin.

Makanan

Untuk makanan dan air, pemilik haiwan peliharaan perlu mengenal pasti jumlah makanan si bulus sepanjang hari dan ia perlu didarabkan dengan bilangan hari yang ditinggalkan.

Disarankan juga supaya menggunakan bekas makanan jenis automatik sepanjang ketiadaan anda di rumah bagi memastikan jadual makan si bulus tidak terganggu.

Tempat membuang najis

Pasir untuk si bulus membuang najis juga perlu disediakan secukupnya.

Jika anda memiliki seekor kucing, sediakan dua tempat pembuangan najis tapi andainya ada dua ekor kucing, sediakan tiga atau lebih tempat pembuangan najis.

Selain itu, jumlah pasir juga tidak boleh sedikit, sekurang-kurangnya tiga hingga lima sentimeter (cm) tebal bagi membolehkan ia menyerap najis dengan lebih berkesan.

Tempat selesa

Pastikan kawasan tempat si bulus dibersihkan terlebih dahulu sebelum anda pulang ke kampung . Sangkar, tempat tidur mahu pun tempat makan perlu dibersihkan untuk memastikan haiwan kesayangan anda itu tidak perlu berhadapan dengan bau yang tidak menyenangkan sepanjang ketiadaan pemiliknya.

Selain itu, kipas atau alat pendingin hawa juga perlu dibuka untuk memastikan suhu rumah tidak terlalu panas.

Pengudaraan dan pencahayaan yang baik

Pastikan juga rumah anda memiliki pengaliran udara yang baik.

Namun jangan pula dibuka tingkap seluas-luasnya kerana bimbang si bulus akan melompat keluar.

Pasang lampu atau gunakan fungsi lampu automatik yang akan menyala pada waktu gelap.

Walaupun kucing boleh melihat dalam gelap, pemasangan lampu penting bagi memastikan haiwan itu berasa selamat sepanjang ketiadaan anda.

Maklumkan kepada si bulus

Ramai pemilik kucing akan ‘memaklumkan’ kepada si bulus kesayangan apabila mereka perlu meninggalkan rumah seketika.

Nampak macam kelakar tetapi sebenarnya haiwan bijak itu boleh memahami.

Jadi, pujuklah si bulus dan maklumkan berapa lama ia akan ditinggalkan sendirian.

Kucing perlukan teman

Kucing tidak suka bersendirian dan perlukan teman.

Jika anda mempunyai seekor kucing sahaja di rumah, sebaiknya bawa ia pulang bersama atau letakkan di hotel atau asrama kucing.

Jika ada ada lebih dari seekor, ia boleh menjadi teman saat anda tinggalkan haiwan itu.

Alat permainan

Jangan ketinggalan untuk meletakkan alat mainan kegemaran si bulus untuk haiwan itu bermain ketika ketiadaan anda di rumah. Ia antara cara untuk membuatkannya leka dan terlupa akan ketiadaan anda di rumah.

Sememangnya perlu banyak persediaan jika anda ingin meninggalkan si bulus sendirian di rumah untuk pulang ke kampung.

Namun, jika mempunyai bajet yang lebih, anda boleh pertimbangkan untuk mendapatkan khidmat pengasuh haiwan atau hantarkan ke hotel haiwan bagi menjaga haiwan kesayangan ketika anda balik kampung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top