Kenapa 60,000 migran serbu Ceuta?

Kenapa 60,000 migran serbu Ceuta?

Madrid: Kemasukan mengejut kira-kira 60,000 pendatang tanpa izin dari Maghribi ke wilayah enklaf Sepanyol di utara Afrika, Ceuta, minggu lalu, mencetuskan krisis politik di Madrid serta beberapa ibu negara Eropah, lapor AFP.

Presiden/Datuk Bandar Ceuta, Juan Jesus Vivas berkata, jumlah itu direkodkan dalam tempoh tiga hari antara Khamis (30 Julai) hingga hari ini (1 Ogos).

Untuk rekod, Cueta yang menjadi wilayah Sepanyol itu mempunyai kira-kira 80,000 penduduk.

Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri Sepanyol memaklumkan lebih 48,000 pendatang yang memasuki Ceuta secara haram sudah dihantar pulang ke Maghribi.

Kementerian itu turut mengesahkan 34 orang maut ketika cuba mendarat dan memasuki wilayah berkenaan.

Vivas berkata, skala kemasukan kali ini jauh lebih besar berbanding kejadian serupa pada Mei 2021 apabila kira-kira 12,000 orang merentasi sempadan Maghribi ke Ceuta dalam tempoh beberapa hari.

Kenapa mereka mahu memasuki Ceuta?

Ceuta, bersama satu lagi wilayah iaitu Melilla, adalah satu-satunya sempadan darat yang menghubungkan Benua Afrika secara terus dengan Kesatuan Eropah (EU). Kedudukan geografi yang unik ini menjadikannya destinasi tumpuan utama bagi ribuan migran yang berhasrat untuk melangkah masuk ke benua Eropah.

Bagi migran, kebolehan merentasi sempadan dan melangkah masuk ke Ceuta bermakna mereka secara fizikalnya sudah berada di dalam wilayah Kesatuan Eropah. Keadaan ini secara tidak langsung membuka jalan untuk mereka mendapatkan perlindungan di bawah undang-undang suaka Eropah serta berpeluang dipindahkan ke tanah besar Sepanyol atau negara Eropah yang lain.

Selain faktor lokasi, isu kemiskinan dan ketidakstabilan ekonomi di negara asal turut menjadi punca utama pergerakan ini. Sebahagian besar daripada mereka yang cuba menyeberang terdiri daripada rakyat Maghribi yang berdepan masalah ekonomi teruk, kadar pengangguran belia yang tinggi, serta kesan krisis ekonomi yang berpanjangan.

Mengapa mereka sanggup berenang di laut untuk masuk Ceuta?

Menurut AFP, keputusan Mahkamah Agung Sepanyol pada 8 Julai lalu yang menetapkan pendatang yang tiba melalui laluan laut tidak boleh dihantar pulang secara serta-merta turut menyumbang kepada keadaan semasa.

Kenapa Maghribi ‘seakan’ tidak menghalang tindakan migran ini?

Beberapa penganalisis berpendapat Maghribi menggunakan isu migrasi sebagai alat tekanan diplomatik terhadap Sepanyol berhubung pertikaian tuntutan kedaulatan ke atas wilayah Ceuta dan Melilla yang berlarutan sejak 1956.

Apa reaksi negara Eropah lain?

Menurut AFP, Itali mengumumkan penggantungan sementara peraturan Schengen yang membenarkan pergerakan bebas merentasi sempadan bersama Sepanyol.

Perancis dan Britain menyatakan sokongan solidariti kepada Sepanyol, namun Perancis mengumumkan akan meningkatkan jumlah kawalan polis di sempadannya dengan Sepanyol sebanyak lima kali ganda.

Sementara itu, Portugal turut memaklumkan akan memperketat kawalan keselamatan di sempadan darat serta kawasan perairan di bahagian selatan negara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top