ENGLAND berdepan detik cemas apabila Jude Bellingham hampir dilayangkan kad merah akibat insiden yang dikaitkan dengan peraturan baharu FIFA ketika aksi seri tanpa jaringan menentang Ghana.
Pemain tengah berusia 22 tahun itu mencetuskan beberapa insiden tegang sepanjang perlawanan, termasuk pertikaman lidah dengan staf kejurulatihan Ghana sehingga rakan sepasukan, Morgan Rogers terpaksa campur tangan untuk meredakan keadaan.
Insiden paling serius berlaku apabila Bellingham berdepan penyerang Ghana, Jordan Ayew dan dilihat menutup mulut ketika berbual dalam situasi yang tegang di atas padang.
Di bawah peraturan baharu FIFA yang diperkenalkan pada edisi Piala Dunia kali ini, tindakan menutup mulut ketika situasi konfrontasi boleh dianggap sebagai pelanggaran disiplin dan berisiko dikenakan kad merah.
Peraturan tersebut diperketat susulan beberapa insiden disiplin di pentas antarabangsa, termasuk kes membabitkan pemain Benfica, Gianluca Prestianni yang digantung enam perlawanan oleh UEFA.
Minggu lalu, pemain Paraguay, Miguel Almiron menjadi pemain pertama dilayangkan kad merah selepas didapati melanggar peraturan berkenaan menerusi semakan video bantuan pengadil (VAR).
Bagaimanapun, Bellingham terselamat daripada sebarang tindakan selepas pengadil menilai situasi tersebut tidak bersifat konfrontasi atau provokatif.
Menurut garis panduan FIFA, pemain masih dibenarkan menutup mulut ketika bercakap dengan rakan sepasukan atau dalam keadaan perbualan biasa yang tidak berunsur pergaduhan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina sebelum ini menjelaskan bahawa tindakan hanya akan dikenakan jika ia berlaku dalam situasi pertelingkahan.
“Jika perbualan itu bersifat mesra, ia dibenarkan. Tetapi jika ia dalam keadaan konfrontasi, menutup mulut boleh dianggap kesalahan serius,” katanya.
Sekiranya dikenakan kad merah, Bellingham akan terlepas aksi penting England dalam penentuan Kumpulan L pada perlawanan seterusnya, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada The Three Lions.



