SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan pendirian Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang mempertikai kewajaran desakan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu ditubuhkan bagi menyiasat isu pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).
Beliau berpandangan, jika prinsipnya adalah rakyat berhak mengetahui kebenaran berdasarkan fakta dan dokumen, maka persoalan mengenai pemindahan aset TH kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0 juga wajar dijelaskan secara terbuka.
“Kenapa tidak boleh pula? Rakyat juga nak tahu apakah status pemindahan aset tabung haji kepada UJSB semasa pemerintahan PH 1.0 dahulu
“Aset tabung haji yang telah dipindahkan kepada UJSB bernilai RM9 billion ketika itu dan dikatakan UJSB membeli pada harga RM19 billion melalui terbitan sukuk,” katanya dalam satu hantaran Facebook pada Selasa malam.
Sebelum ini, AMK dilaporkan mempersoalkan kewajaran desakan Perikatan Nasional (PN) dan UMNO supaya RCI baharu ditubuhkan untuk menyiasat semula isu pengurusan TH.
Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, RCI bukan alat untuk mencari keputusan yang memihak kepada mana-mana parti politik tetapi diwujudkan untuk mencari kebenaran berdasarkan fakta, dokumen dan keterangan.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal berpandangan, antara persoalan yang lain perlu dijawab termasuklah berapa jumlah tunai yang telah TH terima hingga hari ini.
“Adakah hanya kertas hutang yang dipanjangkan tempohnya sahaja?” soal beliau lagi.
Menurutnya, persoalan berhubung transaksi berkenaan bukan hanya dibangkitkan oleh pihaknya, sebaliknya pernah dipersoalkan wakil rakyat daripada kerajaan sendiri.
“Seperti mana Ahli Parlimen Pasir Gudang iaitu ahli Parlimen kamu sendiri yang tuntut penjelasan mengenainya maka rakyat juga perlu tahu
“Kalau nak dedah, kita dedah sepenuhnya bukan separuh-separuh sahaja,” tegasnya lagi.
