am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Tindakan tegas akan diambil ke atas kenderaan bernombor pendaftaran asing yang didapati menggunakan nombor plat Malaysia dengan tujuan untuk mengisi petrol bersubsidi RON95.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, kenderaan asing yang memasang nombor plat Malaysia boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mengikut seksyen ini, mereka yang didapati bersalah boleh dijatuhi hukuman yang tinggi termasuk denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau hukuman penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kepada hantaran tular di media sosial yang mendakwa pemandu kereta Singapura menukar nombor plat kenderaannya kepada nombor plat Malaysia sebelum mengisi petrol RON95 yang juga bahan api bersubsidi untuk rakyat Malaysia.
Azmil Zainal berkata, undang-undang Malaysia mewajibkan semua kenderaan bermotor untuk memaparkan nombor pendaftaran dengan jelas di bahagian hadapan dan belakang kenderaan seperti yang ditetapkan JPJ dan penggunaan nombor plat palsu adalah kesalahan yang boleh dihukum.
Katanya, walaupun tiada aduan diterima mengenai tindakan warga asing menukar nombor plat kenderaannya, pegawai JPJ tetap akan diarahkan untuk menjalankan operasi risikan dan pengawasan bagi mengesan pesalah.
“Kami akan meneruskan pemantauan dan risikan untuk mengenal pasti dan bertindak ke atas sebarang kejadian salah laku ini.
“Pemandu kenderaan Singapura diingatkan untuk mematuhi peraturan. JPJ akan menegakkan pematuhan dan meningkatkan piawaian keselamatan jalan raya,” katanya.
Pada masa sama, difahamkan setakat ini tiada laporan polis dibuat berhubung insiden berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

