hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kenderaan komersial baharu atau terpakai perlu menjalani ‘pemeriksaan awalan’ sebelum mendaftar di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikannya berkenaan mematuhi standard piawaian pembinaan dan kegunaannya.
Berdasarkan laman web Puspakom Sdn Bhd (Puspakom), terdapat 12 bahagian pemeriksaan akan dilakukan oleh pemeriksa kenderaan terlatih di pusat pemeriksaan itu.
Kenderaan berat terlebih dahulu perlu menjalani proses pengesahan identiti iaitu dengan memeriksa kesahihan nombor casis dan enjin kenderaan.
Pemeriksaan kedua adalah untuk lampu puncak bagi mengukur keadaan pancaran cahaya kenderaan diikuti pemeriksaan atas kenderaan selaras dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti sebarang kecacatan.
Kenderaan berat kemudiannya perlu memeriksa ujian cermin gelap bagi mengukur kadar ketelusan cahaya cermin.
Ia juga perlu melepasi ujian pelepasan asap, ujian ini dilakukan bagi mengukur tahap pelepasan enjin bagi memastikan ia tidak melebihi had yang ditetapkan.
Kenderaan berat juga perlu melepasi ujian gelincir sisi iaitu ujian bagi menguji penjajaran tayar dan keberkesanan pengendalian semasa penjajaran sisi.
Selain itu, terdapat juga ujian suspensi bagi menguji sistem suspensi termasuk prestasi spring, penyerap, hentakan dan sendi pada setiap gandar.
Ujian brek turut dijalankan di pusat pemeriksaan bertujuan untuk memeriksa kecekapan, ketidakseimbangan serta dadaya tekanan brek. Kenderaan juga perlu menjalani ujian meter laju bagi memeriksa tahap ketepatan meter kelajuan berbanding kelajuan pada roda.
Sebelum menerima kelulusan, pusat pemeriksaan akan memeriksa bawah kenderaan bagi mengenal pasti sebarang masalah yang mungkin berlaku melalui peralatan ‘Axie Play Detector’.
Untuk rekod, jika berlaku kegagalan brek ketika pemeriksaan kenderaan berkenaan akan disenarai hitam secara automatik, ‘Borang Gagal Brek’ sebanyak tiga kali diserahkan kepada JPJ,
Kenderaan berkenaan tidak dibenarkan berada di jalan raya. Selepas pembaikan, pemilik perlu mendapatkan kebenaran JPJ untuk diperiksa semula.
Namun begitu, ia tidak menjadi isu pada item pemeriksaan yang lain selain daripada brek.
© New Straits Times Press (M) Bhd




