Kenderaan mewah tak terlepas tindakan undang-undang: PDRM

Kenderaan mewah tak terlepas tindakan undang-undang: PDRM

anbia@hmetro.com,my

Kuala Lumpur: Tiada istilah pilih kasih. Ini berikutan tindakan penguatkuasaan diambil pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membabitkan pemilik kenderaan mewah yang berlumba di ‘litar’ Batang Kali dan Genting Highlands.

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tiada istilah sasaran terpilih dalam setiap tindakan penguatkuasaan dilakukan.

“Tindakan penguatkuasaan polis tidak hanya menilai kepada model kenderaan. Ini bermaksud bukan sahaja kenderaan biasa, tetapi kenderaan mewah juga diambil tindakan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas isu pemandu kenderaan mewah yang mengabaikan aspek keselamatan pengguna jalan apabila didapati berlumba di laluan naik ke Genting Highlands, Pahang. Kegiatan itu bagaimanapun tular di media sosial, sekaligus mencetuskan kecaman ramai berhubung isu keselamatan pengguna jalan raya lain.

Mohd Yusri berkata, pihaknya ada menjalankan operasi secara berkala di lokasi berkenaan.

“Selain operasi secara berkala, kami juga ada menjalankan operasi sebaik menerima aduan daripada orang awam mengenai kegiatan melanggar peraturan seperti lumba haram atau konvoi berbahaya.

“Sebaik terima maklumat itu, kami akan arahkan pasukan bertugas di lebuh raya untuk membuat pemantauan dan operasi,” katanya.

Mengulas mengenai aktiviti konvoi di lebuh raya pula, beliau berkata, ada di antara pihak yang terbabit mendapat kebenaran pihaknya dan ada juga tidak mendapat kebenaran berkonvoi.

“Saya ingin menasihatkan pengguna supaya mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak kemalangan yang boleh meragut nyawa sendiri dan orang lain,” katanya.

Polis buat pemantauan, operasi berkala

Kuala Lumpur: “Tidak kira kereta golongan ‘kayangan’ atau orang biasa, tindakan undang-undang sama tetap diambil sekiranya didapati melanggar undang-undang jalan raya,” ujar Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar.

Dia yang dihubungi Harian Metro mengakui pihaknya cakna terhadap aktiviti lumba haram atau memandu secara berbahaya membabitkan laluan menuju ke Genting Highlands.

Menurutnya, pemantauan dan operasi berkala dilakukan pihak polis bagi mencegah kegiatan berkenaan membabitkan laluan lebuh raya Karak atau Batang Kali menuju ke Gohtong Jaya.

“Tiada istilah pilih kasih. Ini berikutan kami pernah menyita kenderaan mewah yang didapati melakukan kesalahan lalu lintas.

“Tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah tetap dilakukan terhadap pemilik kereta mewah ini,” katanya.

Menurutnya, tiada halangan bagi kenderaan mewah untuk memasuki kawasan peranginan itu namun mereka perlu akur terhadap peraturan dan had laju ditetapkan bagi mengelak berlakunya kemalangan.

Sebelum ini polis daerah Bentong turut pernah mengambil tindakan sama terhadap pemilik kereta Honda CR-Z yang dipandu melulu sebelum terbabit kemalangan di kilometer 14.7, menghala ke Genting Highlands.

Lelaki berusia 27 tahun itu diambil tindakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong selepas video keretanya dipandu secara melulu bersama sekumpulan kereta Honda yang lain tersebar di media sosial Tiktok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top