Kenyataan AGC tidak berdasarkan maklumat tepat dan lengkap – Undang Yang Empat

SEREMBAN: Kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam berhubung proklamasi pengosongan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang didakwa gagal mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 dibantah.

Sekretariat Majlis Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin dalam kenyataan memaklumkan, proses dan tatacara yang dikehendaki di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 telah dipatuhi sebelum proklamasi berkenaan dikeluarkan.

Katanya, proses itu bermula dengan siasatan awal pada 5 Mac sebelum siasatan lanjutan dijalankan pada 19 April.

“Fakta ini dengan jelas menunjukkan bahawa proses dan tatacara yang dikehendaki di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959 telah pun dipatuhi sebelum Proklamasi 19 April 2026 dikeluarkan.

“Ini bercanggah secara langsung dengan dakwaan Jabatan Peguam Negara yang menyatakan ketiadaan fakta pematuhan tatacara tersebut,” katanya.

Selain itu, sekretariat turut mendakwa nasihat yang diberikan AGC berhubung perkara tersebut tidak berdasarkan maklumat dan fakta yang tepat serta lengkap mengenai urutan peristiwa sebenar.

Mengenai prosiding di Mahkamah Tinggi Seremban yang dirujuk AGC sebagai masih berjalan, sekretariat menjelaskan ia hanya berkaitan tuntutan mengemukakan minit mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bertarikh 17 April 2026.

Menurutnya, prosiding berkenaan tidak menyentuh persoalan keabsahan proklamasi 19 April 2026.

“ Terdapat juga satu prosiding lain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang tidak disebut oleh ACG berkaitan permohonan writ mandamus, yang mana Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim telah pun melaksanakan kewajipannya di bawah Perkara 10 dengan sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut menjelaskan ‘interlocutory injunction’ yang dirujuk oleh AGC sebenarnya merupakan injunksi ad interim yang antara lain berkaitan DKU bagi mengekalkan status quo sehingga 21 Mei 2026.

Katanya, status quo DKU pada tarikh tersebut terdiri daripada empat Undang Yang Empat yang sah dan diiktiraf, selain Tunku Besar Tampin dan Shahbandar Sungai Ujong.

“Susunan keahlian inilah yang membentuk status quo DKU yang dilindungi oleh perintah mahkamah pada 21 Mei 2026, bukan senarai Undang yang diperkenalkan kemudian menerusi mesyuarat 31 Julai atau 13 September 2026,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut menggesa AGC meneliti semula kenyataannya berdasarkan fakta sebenar sebelum mengeluarkan sebarang pandangan lanjut kepada umum.

Sekretariat turut menegaskan persoalan pematuhan tatacara adat di bawah Perkara 10 merupakan persoalan adat Melayu yang tertakluk kepada prinsip kemuktamadan nasihat Dewan di bawah Perkara 16(3) UUTKNS 1959.

Menurutnya, perkara itu bukan sesuatu yang wajar disentuh secara sepihak oleh mana-mana jabatan eksekutif sebelum dirujuk kepada DKU atau diputuskan mahkamah.

Dalam perkembangan berkaitan, sekretariat turut mempertikaikan pendirian Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim yang mencabar keabsahan proklamasi berkenaan dan didakwa mengingkari keputusan Exco untuk mewartakannya.

Sekretariat mencadangkan Setiausaha Kerajaan Negeri meletakkan jawatan atau tindakan tatatertib dimulakan terhadapnya.

“Pihak kami mengesyorkan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk meletakkan jawatan serta merta,
atau secara alternatifnya, tindakan tatatertib dimulakan terhadapnya.

“Ini kerana Setiausaha Kerajaan Negeri wajib mematuhi arahan ‘Government of the day’ bukan menerima arahan daripada pihak luar yang tidak berkenaan dengan pentadbiran negeri.

“Dalam pada itu, pihak kami ingin menegaskan bahawa pewartaan proklamasi itu bukanlah syarat kepada keabsahan Proklamasi tetapi proklamasi di bawah Perkara 10(2) menjadi sah dan sempurna apabila semua penandatangan telah menurunkan tandatangan, dan tidak disyaratkan pengwartaan di bawah UUTKNS,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top