am@hmetro.com.my
Ipoh: Kenyataan Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Yeo Bee Yin, yang secara terbuka meraikan keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini dilihat UMNO Perak sebagai mampu menggoncang keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pihaknya mengecam keras kenyataan Yeo yang jelas tidak sensitif, selain memperlihatkan kegagalan memahami realiti politik serta emosi masyarakat kepada seorang tokoh yang banyak berjasa kepada negara.
“Ketika rakyat mengharapkan kerajaan menjadi payung kestabilan dan ketenangan politik, kenyataan pemimpin terbabit hanya memercik api permusuhan sekali gus mengundang prasangka yang mampu menggoncang keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.
“Prinsip demokrasi serta kedaulatan undang-undang dijunjung seharusnya bukan alasan untuk sesiapa sahaja termasuk ahli politik bersikap biadap dengan mengejek meraikan penderitaan orang lain.
“Mesti ditegaskan bahawa politik bukan medan menzahirkan dendam atau meraikan kejatuhan pihak lain, sebaliknya wadah menjunjung tanggungjawab, empati dan kebijaksanaan, serta bukannya mencipta naratif yang menyimbah minyak ke atas api yang masih membara,” katanya melalui kenyataan.
Saarani berkata, UMNO Perak berpegang bahawa sensitiviti politik tidak seharusnya diremehkan, memandangkan kenyataan bersifat provokatif sebegitu antaranya akan mencederakan usaha membina kestabilan politik.
“Selain itu ia turut mengguris perasaan sebahagian besar rakyat yang percaya dan menghargai jasa; dan ia merosakkan kepercayaan awam terhadap kematangan dan adab pemimpin politik,” katanya.
Katanya lagi, UMNO Perak tegas dengan pendirian bahawa perbezaan pandangan politik tidak pernah menghalalkan sikap tidak berperikemanusiaan serta menolak sekeras-kerasnya budaya politik yang menjadikan penderitaan orang lain sebagai bahan ejekan atau modal politik murahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




