Malaysia sasar 25 teratas CPI, integriti jadi teras utama

Malaysia sasar 25 teratas CPI, integriti jadi teras utama

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Ipoh: Sasaran Malaysia untuk berada dalam 25 teratas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) peringkat global hanya mampu dicapai jika setiap pemimpin dan pembuat keputusan menjadikan integriti sebagai asas dalam menjalankan tugas dan amanah.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed menegaskan bahawa komitmen berterusan terhadap integriti dan akauntabiliti mesti diamalkan secara konsisten agar usaha membanteras rasuah dapat dijalankan dengan berkesan dan menyeluruh.

“Komitmen terhadap integriti dan ketelusan akan menjadi pemangkin kepada tadbir urus yang baik serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi awam dan agensi berkaitan,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Antirasuah bersama Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Pertanian (SADC) Perak 2025 di sini, hari ini.

Untuk rekod, program itu membabitkan 35 peserta termasuk 12 Ahli Lembaga Pengarah serta pegawai dan kakitangan SADC Perak bagi memberi pemahaman mendalam tentang peranan dan akauntabiliti pengurusan tertinggi dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi SADC, Datuk Seri Saarani Mohamad, turut mengetuai sesi melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai bukti komitmen menolak sebarang bentuk rasuah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SADC Perak, Mohd Azhar Mohd Yusuf, dalam ucapannya berkata program berkenaan menekankan kepentingan kesedaran integriti dan antirasuah serta menyampaikan mesej pencegahan rasuah kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira pangkat, bangsa atau agama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top