Dhuha buru gelaran Olahragawan SUKMA 2026

Shah Alam: Perenang Wilayah Persekutuan, Muhammad Dhuha Zulfikry memulakan kempen Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan bergaya apabila merangkul pingat emas acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki.

Kejayaan di Pusat Akuatik Selangor, di sini, hari ini menjadi isyarat awal kesungguhan perenang negara berusia 18 tahun itu yang merangkul enam emas pada temasya dua tahun lepas untuk memburu gelaran Olahragawan SUKMA 2026.

“Pada temasya sebelum ini (SUKMA Sarawak) saya tidak berpeluang untuk memenangi anugerah Olahragawan. Jadi, saya mahu menebusnya kali ini,” katanya kepada pemberita selepas acara penyampaian pingat.

Bagi Muhammad Dhuha, pencapaian sebagai Olahragawan bukan sekadar anugerah, sebaliknya ia menjadi cita-cita peribadi yang sangat diimpikannya dalam penampilan ketiga di pentas SUKMA.

Mengimbas kekecewaan di SUKMA 2024, dia sebelum ini mempamerkan prestasi luar biasa dengan meraih enam emas, dua perak serta memecahkan empat rekod temasya, namun pencapaian itu belum cukup untuk menobatkan beliau sebagai atlet lelaki terbaik.

Gelaran berkenaan ketika itu menjadi milik perenang Selangor, Andrew Goh yang meraih lima pingat emas, dengan dua daripadanya ialah rekod baharu kebangsaan menerusi acara 100m kuak dada (1:01.39s) dan 50m kuak dada (27.40s).

Menyedari saingan sengit bagi merebut anugerah itu, Dhuha merancang menyertai enam lagi acara individu.

Dalam aksi final 200m gaya bebas itu, pingat perak dimenangi Samuel Lai dari Pulau Pinang (1:52.34s) manakala wakil Selangor, Goh Li Jie merangkul gangsa (1:52.67s).

Secara keseluruhan, hari pertama aksi di kolam renang menyaksikan Wilayah Persekutuan berjaya mengumpul empat pingat emas dengan tiga lagi disumbangkan oleh Cham Yu Xiang (100m gaya kuak dada lelaki), Isabelle Chiyi (100m gaya kuak dada wanita) dan Chong Xin Lin (50m gaya kuak lentang wanita).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top