Kepakaran SPRM diiktiraf di peringkat global, IACA

Kepakaran SPRM diiktiraf di peringkat global, IACA

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perkongsian kepakaran dan pengalaman dinamik Malaysia dalam merangka strategi pencegahan serta pembanterasan rasuah diiktiraf sebagai antara pemangkin utama kepada kelangsungan dan kemajuan International Anti-Corruption Academy (IACA) yang berpusat di Vienna, Austria.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selaku wakil rasmi negara, terus memainkan peranan yang amat signifikan dalam memacu pembangunan IACA melalui pembabitan aktif serta sumbangan kepakaran dan kewangan yang konsisten sejak akademi antarabangsa itu ditubuhkan pada tahun 2012.

Komitmen tidak berbelah bahagi itu ditonjolkan melalui Mesyuarat Perhimpunan Pihak-Pihak (AOP) Ke-15 yang berlangsung baru-baru ini.

Dalam perhimpunan itu, Malaysia menyatakan pendirian tegas bahawa sokongan padu dan kerjasama erat antara seluruh negara anggota adalah elemen paling kritikal dalam memastikan kelangsungan serta kemajuan IACA secara berterusan pada masa hadapan.

Sejajar dengan perkembangan global dan cabaran baharu yang semakin kompleks dalam landskap jenayah rasuah serta kewangan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya, turut menggariskan beberapa hala tuju strategik dan bidang keutamaan yang perlu diberi perhatian khusus oleh pihak IACA.

Antara bidang utama yang diketengahkan beliau termasuklah penerapan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), pembasmian jenayah kewangan, pengukuhan keupayaan penyiasatan digital, analisis risiko rasuah serta program pembangunan kemahiran dan pengetahuan yang komprehensif khusus untuk pegawai penguat kuasa antirasuah di peringkat global.

Sebagai bukti nyata kepada komitmen berterusan ini, Kerajaan Malaysia menyalurkan sumbangan kewangan terkumpul berjumlah EUR1.602 juta kepada IACA bagi tempoh tahun 2012 hingga 2026, sekali gus mencerminkan kesungguhan negara dalam menyokong pembangunan kapasiti dan memantapkan jaringan kerjasama antarabangsa demi memerangi musuh nombor satu negara itu.

Mesyuarat peringkat tinggi itu turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Austria, Datuk Fenny Nuli serta Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Rasidah Abdul Ghani.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top