Kepercayaan masyarakat kunci kelangsungan industri media

Kepercayaan masyarakat kunci kelangsungan industri media

PETALING JAYA – Organisasi media perlu berani berubah dan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta perubahan tingkah laku masyarakat jika mahu terus relevan dalam landskap maklumat yang semakin mencabar.

Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, masa depan industri media tidak lagi ditentukan oleh teknologi semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kemampuan organisasi media untuk melakukan transformasi tanpa mengabaikan nilai-nilai asas kewartawanan berwibawa.

Menurut beliau, industri media kini berdepan pelbagai cabaran susulan kemunculan kecerdasan buatan (AI), gangguan digital serta perubahan corak penggunaan maklumat yang berlaku dengan pantas dalam kalangan masyarakat.

“Persoalan utama hari ini bukan lagi mengenai media tradisional atau media digital, sebaliknya siapa yang mampu membina dan mengekalkan kepercayaan masyarakat dalam dunia yang dipenuhi lambakan maklumat, maklumat palsu dan pelbagai kandungan yang bersaing untuk mendapatkan perhatian.

“Walaupun teknologi terus mengubah cara berita dihasilkan dan disebarkan, kepercayaan kekal menjadi aset paling bernilai dalam dunia kewartawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan forum bertajuk Evolusi Media dan Transformasi Industri: Evolusi, Realiti dan Masa Depan Industri di sini pada Khamis.

Firdaus berkata, organisasi media hari ini bukan sahaja bersaing sesama sendiri, malah turut berdepan persaingan daripada platform media sosial, pencipta kandungan dan algoritma yang sentiasa berebut perhatian pengguna.

Justeru, katanya, sesebuah organisasi media perlu terus kekal relevan selain terus berinovasi, kredibiliti dan memberi pemahaman yang mendalam terhadap keperluan masyarakat.

Mengulas pengalaman transformasi Karangkraf, beliau berkata, pertumbuhan mampan memerlukan organisasi media untuk menerima inovasi, mempelbagaikan model perniagaan dan memperkukuh keupayaan digital tanpa mengorbankan integriti editorial, etika profesional serta keyakinan masyarakat.

“Pada akhirnya, masa depan tidak akan menjadi milik organisasi yang mempunyai teknologi paling canggih, tetapi milik mereka yang berjaya memperoleh dan mempertahankan kepercayaan masyarakat.

“Dalam landskap maklumat yang semakin padat dan kompetitif, kredibiliti akan terus menjadi kelebihan utama kewartawanan profesional,” tambah beliau.

Scroll to Top