Kepulangan Bentancur legakan Spurs

Kepulangan Bentancur legakan Spurs

London: Pengurus Tottenham Hotspur Ange Postecoglou berkata, kehadiran semula Rodrigo Bentancur yang pulih daripada kecederaan melegakan kelab selepas membantu menewaskan Bournemouth 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris Sabtu lalu.

Bentancur dijangka tersisih sekurang-kurangnya dua bulan akibat kecederaan buku lali ketika Spurs tewas 1-2 di tangan Aston Villa pada 26 November.

Namun pemain berusia 26 tahun itu kembali berlatih lebih awal dan beraksi kurang satu jam ketika kemenangan ke atas Bournemouth yang menyaksikan dia terbabit dengan gerakan gol pertama.

Postecoglou berkata, Bentancur menunjukkan kesungguhan tinggi selepas dibelenggu kecederaan dan tersisih hampir sepanjang 2023 .

“Rodrigo berlatih seperti biasa, dia seorang pahlawan dan mahu bermain,” kata Postecoglou dalam temuramah di laman web kelab hari ini.

“Saya benarkan dia berlatih dengan rakan sepasukan dan saya tak nampak apa-apa yang menghalangnya daripada memberikan sumbangan.

“Kami tahu kami mungkin hanya mendapat 55, 60 (minit) daripadanya tetapi ia tetap melegakan skuad kerana dia pemain berkualiti.”

Spurs menerima kunjungan Burnley dalam aksi pusingan ketiga Piala FA pada Sabtu ini sebelum berdepan Manchester United untuk aksi liga pada 14 Januari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top