ajohari@bh.com.my
Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 5 November ini untuk keputusan permohonan keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman mencabar tindakan pembekuan akaun dan aset mereka.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili keluarga Allahyarham Daim dan Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan bagi pihak Peguam Negara.
Terdahulu dalam hujahannya, Gurdial berkata, pemohon telah membuktikan pada peringkat prima facie bahawa terdapat isyarat yang jelas di mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku responden telah menyalahgunakan kuasa mereka.
Selain SPRM, responden lain ialah Penolong Penguasa Sektor Sasaran Operasi Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucutan Harta SPRM Haris Fadhila Sukaime; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki; Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan kerajaan Malaysia.
Menurut Gurdial, tindakan (salah guna kuasa) itu adalah dengan menggunakan pelbagai peruntukan
bagi melanjutkan tanpa had tempoh pembekuan dan penyitaan harta pemohon melebihi kuasa yang diberikan kepada mereka dalam penyiasatan sesuatu kesalahan.
Peguam itu menegaskan, tindakan dan keputusan yang dibuat oleh responden pertama hingga keempat tertakluk kepada prosiding semakan kehakiman.
Katanya, pemohon telah membuktikan pada peringkat prima facie bahawa tindakan dan keputusan yang dibuat responden itu dicemari dengan unsur tidak sah, tidak rasional dan tidak teratur dari segi prosedur.
“Oleh itu, kini menjadi tanggungjawab responden untuk memberikan justifikasi terhadap tindakan itu di mahkamah kerana terdapat isu yang boleh dipertikaikan yang memerlukan hujahan lanjut oleh pihak-pihak pada peringkat substantif,” katanya.
Bagaimanapun, Nurhafizza berhujah bahawa pemohon gagal melepasi ambang peruntukan dalam permohonan kebenaran itu kerana perkara pokok iaitu tindakan pembekuan akaun bank berkenaan tidak tertakluk kepada prosiding semakan kehakiman.
Beliau berkata, dakwaan pemohon pada asasnya hanyalah aduan bahawa pembekuan akaun bank dibuat tanpa asas dan siasatan terhadap mereka bermotifkan politik dan dicemari niat jahat (mala fide).
Katanya, pemohon gagal mengemukakan bukti kukuh dan prima facie yang secara jelas dan boleh membawa kepada kesimpulan muktamad bahawa dakwaan tersebut telah dibuktikan.
Pada 25 September tahun lalu, Daim, isterinya Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, empat anak mereka dan 17 syarikat telah memfailkan permohonan untuk memulakan semakan kehakiman terhadap perintah pembekuan SPRM ke atas akaun bank mereka.
Mahkamah Tinggi kemudian pada 5 Februari lalu, membenarkan permohonan Na’imah untuk mewakili arwah suaminya dalam permohonan semakan kehakiman berkenaan.
Sementara itu pada 6 Jun lalu, mereka turut memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah membatalkan tindakan SPRM yang menyita aset alih yang dikenakan mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
© New Straits Times Press (M) Bhd




