Kerajaan digesa gubal undang-undang, pemandu mabuk bayar pampasan terus kepada waris mangsa

Kerajaan digesa gubal undang-undang, pemandu mabuk bayar pampasan terus kepada waris mangsa

hafizithnin@mediprima.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan digesa menggubal undang-undang baharu atau meminda peruntukan sedia ada berkaitan pemandu mabuk dengan memasukkan elemen pampasan kepada keluarga mangsa.

Pensyarah Kanan, Pusat Undang-Undang Malaysia dan Perbandingan, Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Hanifah Haydar Ali Tajuddin berkata, keperluan itu timbul susulan kes kemalangan membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol yang bukan sahaja meragut nyawa, malah memberi kesan besar kepada waris mangsa.

Menurutnya, undang-undang sedia ada ketika ini tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 khususnya Seksyen 44 yang memperuntukkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian.

“Menurut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda antara RM8,000 hingga RM20,000.

“Selain itu, pesalah turut berdepan tindakan penggantungan lesen serta hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun dari tarikh sabitan,” katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemalangan maut disebabkan oleh pemandu mabuk dan pengambilan dadah baru-baru ini.

Kes terbaru itu juga mendapat perhatian masyarakat yang memberikan pelbagai reaksi hukuman kepada si pelaku.

Hanifah Haydar berkata, bagi kesalahan berulang, hukuman yang dikenakan sepatutnya lebih berat sebagai langkah pencegahan.

“Namun, peruntukan sedia ada tidak membezakan secara khusus hukuman antara kes kecederaan dan kematian, sebaliknya bergantung kepada pertimbangan mahkamah berdasarkan fakta kes.

“Mahkamah boleh menjatuhkan hukuman maksimum iaitu penjara 10 tahun dan denda RM20,000 sekiranya kes itu dilihat serius,” katanya.

Ketika diminta mengulas sama ada kes pemandu mabuk boleh diklasifikasikan sebagai kes bunuh, beliau berkata, ia tidak memenuhi elemen di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana ketiadaan niat.

Katanya, kesalahan itu lebih menjurus kepada kecuaian atau pemanduan melulu, justeru tidak wajar disamakan dengan kes bunuh yang memperuntukkan hukuman lebih berat.

“Keperluan menggubal atau meminda undang-undang dengan pendekatan lebih komprehensif termasuk memasukkan elemen pampasan kepada mangsa.

“Ketika ini hukuman denda hanya dibayar kepada kerajaan tanpa memberi manfaat langsung kepada keluarga mangsa yang kehilangan sumber pendapatan supaya pesalah turut bertanggungjawab terhadap kebajikan keluarga mangsa,” katanya.

Katanya, pendekatan itu selari dengan konsep keadilan restoratif yang memberi penekanan kepada kebajikan mangsa.

“Konsep pengadilan restoratif melihat kepada kepentingan pesalah sedar akan perbuatannya. Oleh itu, jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh pesalah atau keluarganya sekiranya dia tidak mampu juga boleh menimbulkan rasa tanggungjawab serta memahami kesan perbuatannya ke atas mangsa dan keluarganya, dan ini sekali gus memulihkan pesalah.

“Konsep pampasan itu juga boleh mengambil inspirasi daripada amalan di negara maju yang meletakkan kepentingan mangsa sebagai keutamaan dalam sistem keadilan jenayah.

“Pampasan ini boleh membantu meringankan beban kewangan keluarga mangsa yang kehilangan pencari nafkah,” katanya.

Beliau berkata, pengenalan elemen itu juga mampu meningkatkan kesedaran serta memberi kesan pencegahan kepada masyarakat agar tidak memandang ringan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Langkah menggubal atau meminda undang-undang dengan memasukkan elemen pampasan adalah penting bagi memastikan keadilan yang lebih menyeluruh kepada semua pihak terbabit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top