KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan penggunaan teknologi pembinaan hijau secara lebih meluas bagi meningkatkan kecekapan sektor pembinaan dan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, antara teknologi yang diberi penekanan ialah Sistem Binaan Berindustri (IBS) serta Pembinaan Volumetrik Siap Pasang dan Siap Kemasan (PPVC) menerusi Dasar Perumahan Negara.
Ujarnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut menunjukkan komitmen terhadap amalan hijau apabila menjadi kementerian pertama di Malaysia yang menerima Penarafan GreenRE Emas dan Penarafan Sijil Tenaga (EC) Emas.
“Ibu pejabat kami setinggi 38 tingkat membuktikan amalan hijau bukan sekadar berkaitan pensijilan, tetapi turut merangkumi kecekapan penggunaan tenaga dan air, pengurusan sisa, peningkatan kualiti udara dalaman serta penyediaan persekitaran yang lebih sihat dan cekap.
“KPKT tidak akan berhenti setakat ini dan berhasrat mencapai Penarafan GreenRE Platinum, selain menggalakkan budaya penambahbaikan berterusan dalam sektor hartanah,” katanya semasa Majlis Pelancaran Pameran Hartanah Malaysia (MAPEX).
Sehubungan itu, beliau berkata, KPKT merancang menubuhkan bahagian khusus bagi memantau dan menyelaras instrumen penarafan bangunan hijau di Malaysia, selain menggalakkan lebih ramai pemilik bangunan dan badan pengurusan mendapatkan pensijilan hijau.
Menurutnya, cadangan itu dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) semalam dan antara insentif yang dicadangkan termasuk kos pembiayaan lebih rendah, margin pembiayaan lebih tinggi serta kadar cukai lebih rendah kepada pemilik bangunan dan badan pengurusan.
“Amalan hijau tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai kos tambahan.
“Bangunan yang menggunakan tenaga dan air secara lebih cekap, mengurus sumber dengan baik serta menyediakan persekitaran lebih sihat dapat membantu mengurangkan kos operasi dan penyelenggaraan dalam jangka panjang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming berkata, antara isu legasi utama yang diwarisi KPKT ketika beliau menerajui kementerian itu ialah jumlah projek perumahan sakit dan terbengkalai yang tinggi, sehingga menyebabkan ribuan pembeli terpaksa menunggu kediaman yang telah dibayar.
“KPKT menubuhkan pasukan petugas khas pada Disember 2022 bagi menangani projek perumahan swasta yang sakit dan terbengkalai.
“Sejak itu, kami berjaya menyelesaikan 1,647 projek bernilai RM153 bilion yang membabitkan hampir 200,000 pembeli rumah.
“Di sebalik angka itu terdapat keluarga yang bertahun-tahun menunggu kunci rumah, malah ada yang terpaksa membayar sewa dan ansuran pinjaman perumahan pada masa sama bagi kediaman yang belum dapat didiami.
“Dengan memulihkan projek terbabit, kita bukan sekadar menyiapkan bangunan, tetapi membantu keluarga mendapatkan kediaman yang telah mereka bayar,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, keutamaan KPKT bukan hanya menyelesaikan projek bermasalah, sebaliknya memperkukuh sistem bagi mengurangkan risiko lebih banyak projek terjerumus dalam keadaan berkenaan.
“KPKT sedang melaksanakan beberapa pembaharuan perundangan bagi memperkukuh ekosistem perumahan, khususnya dalam aspek perlindungan pembeli rumah dan pengurusan komuniti berstrata.
“Ini termasuk cadangan Akta Pembangunan Harta Tanah, Akta Pengurus Bangunan dan Akta Penyewaan Kediaman, selain pindaan kepada Akta Pengurusan Strata,” jelasnya. – UTUSAN

