am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Mesyuarat Kabinet hari ini memutuskan supaya pelaksanaan e-Invois dikaji semula, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana pelaksanaan e-invois dianggap amat menekan kumpulan komuniti perniagaan.
“Atas desakan Barisan Nasional (BN) dan menteri-menterinya, disetujui oleh menteri-menteri daripada pelbagai parti, e-invois sudah dipersetujui untuk dikaji semula. Keprihatinan ini datang daripada kita.
“Ini adalah satu keputusan baik untuk seluruh masyarakat peniaga di seluruh negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada program bersama masyarakat di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Iskandar Puteri di sini, malam ini.
Turut hadir, calon BN DUN Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Kabinet juga memutuskan dasar caruman dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja asing turut dikaji semula.
“Mana-mana syarikat atau industri yang menggaji atau mengambil pekerja asing dikehendaki mencarum kira-kira dua peratus gaji ke dalam KWSP.
“Kabinet memutuskan, atas permintaan kita (BN), supaya sumbangan dua peratus itu juga dikaji dan diberikan kemudahan.
“Kerana nampak dua peratus ini membebankan business community. Itu keputusan yang kedua (diputuskan kerajaan),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




