Kerajaan Mexico tidak akan terima kumpulan 'vigilante' – Presiden

Kerajaan Mexico tidak akan terima kumpulan 'vigilante' – Presiden

MEXICO CITY: Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador, semalam menegaskan kerajaannya tidak akan menerima kumpulan bersenjata yang didakwa ditubuh bagi mempertahankan diri daripada penjenayah.

Beliau berkata demikian selepas anggota gerakan ‘vigilante’ baharu dipanggil ‘El Machete’ mempamerkan senjata mereka, termasuk senapang automatik, pada perarakan di selatan Mexico, hujung minggu lalu.

“Pembentukan yang didakwa kumpulan mempertahankan diri itu tidak akan diterima.

“Kami bertanggungjawab memastikan keadaan aman serta tenang, dan kami sedang melakukannya,” kata Lopez Obrador kepada pemberita.

Beliau berkata, walaupun kumpulan terbabit mendakwa mereka menggunakan senjata kerana keadaan tidak selamat di sesetengah bahagian negara ini, alasan sebenar mungkin berkait perebutan kuasa politik dan jenayah.

Malah, katanya, siasatan perlu dilakukan bagi mengenal pasti sumber kumpulan terbabit memperoleh bekalan senjata.

Dianggarkan terdapat kira-kira 50 gerakan seumpama itu bergiat di seluruh negara ini.

Jurucakap kumpulan terbabit mendakwa, mereka bersenjata ‘bagi mempertahankan nyawa diri daripada ancaman bunuh oleh kartel dadah’, selain menuduh pihak berkuasa tempatan bersekongkol dengan penjenayah. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top