Kerajaan perkasa PMKS dengan peruntukan RM134.6 juta

Kerajaan perkasa PMKS dengan peruntukan RM134.6 juta

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya, SME Corp. Malaysia menyediakan peruntukan sebanyak RM134.6 juta bagi memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata dana tersebut bertujuan melaksanakan pelbagai inisiatif dan membolehkan usahawan menembusi pasaran yang lebih luas di peringkat antarabangsa.

“Melalui program dan inisiatif yang dirancang tahun ini, KUSKOP menerusi agensi-agensinya termasuk SME Corp. Malaysia terus komited dalam usaha memperkasakan ekosistem keusahawanan negara.

“Komitmen itu sejajar dengan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) bagi menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul selaras dengan kerangka Ekonomi Madani untuk menstruktur semula ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara.

“Komitmen ini turut mengambil kira Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang telah menetapkan sasaran yang jelas untuk pertumbuhan PMKS menjelang 2025.

“Sasaran itu melibatkan sumbangan 41% kepada KDNK, 15% kepada eksport, 3.5% dalam purata pertumbuhan produktiviti buruh dan 90% PMKS mendigitalkan operasi perniagaan mereka,” katanya pada sidang media setelah menghadiri sesi taklimat di Ibu Pejabat SME Corp. Malaysia di Plantinum Sentral, di sini, hari ini.

Tambah beliau, sepanjang tahun lepas, SME Corp. Malaysia telah menyalurkan sejumlah RM131.3 juta secara keseluruhan dan ia memanfaatkan seramai 22,861 PMKS di seluruh negara.

Katanya, inisiatif tersebut juga turut melibatkan program bantuan kewangan bagi tujuan eksport iaitu Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) dan program SMEs Go Global (SMEGG) serta program pembangunan keupayaan dan kapasiti eksport, dan padanan perniagaan.

Ramanan berkata, melalui peruntukan sebanyak RM134.6 juta itu, SME Corp. Malaysia mensasarkan lebih 16,700 usahawan PMKS menerima manfaat untuk mengembangkan serta mengantarabangsakan perniagaan mereka pada tahun ini.

Malah, Program Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS (BAP) yang dihentikan sementara sebelum ini berikutan komitmen yang telah melebihi peruntukan, akan kembali ditawarkan kepada PMKS pada tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM55 juta. – MalaysiaGazette