Kerajaan perkukuh kawal selia import bahan binaan

PUTRAJAYA – Kerajaan memperkukuh kawal selia kemasukan produk bahan binaan import bagi memastikan semua produk yang dipasarkan di negara ini mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti ditetapkan.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pematuhan piawaian produk bahan binaan, termasuk pemeriksaan serta tindakan terhadap pihak yang melanggar peraturan.

Menurutnya, langkah itu penting bagi membendung kemasukan produk bahan binaan yang tidak memenuhi piawaian keselamatan.

“Kemasukan produk yang tidak mematuhi piawaian tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja berpotensi menjejaskan keselamatan pengguna, malah menggugat integriti pasaran, mewujudkan persaingan yang tidak adil serta menjejaskan keyakinan terhadap ekosistem perdagangan negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sesi libat urus bersama CIDB dan Persatuan Kaca Malaysia (MGA) yang dipengerusikannya pada 27 Julai lalu membincangkan isu kemasukan produk bahan binaan yang tidak mematuhi piawaian keselamatan, cabaran industri serta langkah memperkukuh pematuhan dan penguatkuasaan.

Chin Tong berkata, usaha memperkukuh pematuhan piawaian itu merupakan sebahagian daripada pendekatan whole-of-government yang melibatkan kerjasama erat antara kementerian, agensi pengawal selia dan pemain industri.

Katanya, pendekatan itu selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan kawal selia serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang telus, berdaya saing dan mampan.

“Tadbir urus pasaran yang berkesan bukan sahaja melindungi pengguna dan industri tempatan yang mematuhi peraturan, malah menyumbang kepada kestabilan ekonomi, memperkukuh keyakinan pelabur serta memastikan ekosistem perdagangan negara terus beroperasi secara telus dan berintegriti.

“MoF akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian, agensi dan pihak industri bagi memperkukuh sistem kawal selia negara, sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, melindungi kepentingan dan keselamatan rakyat serta memperkukuh daya saing perusahaan tempatan,” jelas beliau.

Scroll to Top