am@hmetro.com.my
Kulim: Kerajaan Persekutuan dijangka perlu menambah kira-kira RM50 juta bagi menyelamatkan projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau yang terbengkalai selepas kontrak asal ditamatkan tahun lalu.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, projek bernilai hampir RM100 juta itu ketika ini hanya mencapai kemajuan sekitar 15 hingga 20 peratus sebelum kerja pembinaan dihentikan.
Katanya, Kerajaan Persekutuan kini mengambil alih pengurusan projek berkenaan termasuk proses pelantikan kontraktor penyelamat bagi memastikan projek itu dapat diteruskan.
“Bila kontrak ditamatkan, kita kena sahkan semula kedudukan projek dan buat lawatan tapak untuk cari jalan menyelamatkan projek ini.
“Kerajaan terpaksa menambah lagi sekitar RM50 juta kerana apabila projek gagal dilaksanakan seperti dirancang, kos tambahan memang tidak dapat dielakkan,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Kulim Hi-Tech Park (KHTP), di sini hari ini.
Terdahulu, beliau turut mengadakan lawatan ke tapak projek LRA Sungai Limau dan LRA Bukit Selambau.
Akmal Nasrullah berkata proses memulakan semula projek itu dijangka mengambil masa panjang termasuk urusan pelantikan kontraktor baharu dan kerja penyambungan semula di tapak.
“Jangkaan awal selepas proses pelantikan selesai, projek ini mungkin mengambil masa sekitar 30 bulan untuk dimulakan semula sepenuhnya.
“Projek ini bermula pada 2021, tetapi apabila berlaku kegagalan seperti sekarang, paling cepat pun mungkin tiga tahun lagi baru kita tahu sama ada ia dapat disiapkan sepenuhnya atau tidak,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, projek LRA Bukit Selambau yang kini berada pada tahap kemajuan kira-kira 51 peratus turut mengalami kelewatan berbanding jadual asal.
Katanya, peringatan sudah diberikan kepada kontraktor supaya meningkatkan kerja di tapak memandangkan rizab bekalan air di Kedah ketika ini berada pada tahap sifar peratus.
“Selagi projek ini tidak siap, cabaran bekalan air akan terus berlaku. Setiap kali kita turun, komitmen diberikan tetapi kita mahu lihat kesungguhan sebenar supaya projek ini dapat disiapkan seperti dijanjikan.
“Kalau berlaku kegagalan di Bukit Selambau, bebannya akan kembali kepada kerajaan Persekutuan juga,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




