am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan sedang berunding dengan Nepal berhubung pengisytiharan kematian mangsa banjir besar di negara itu susulan tempoh anggapan kematian dipendekkan daripada 12 tahun kepada 45 hari.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, ordinan baharu yang diluluskan Presiden Nepal, Ram Chandra Poudel itu membolehkan mangsa bencana yang masih belum dapat dikesan diisytiharkan meninggal dunia selepas tempoh berkenaan.
Katanya, tempoh 45 hari itu dikira bermula dari tarikh bencana pada 26 Ogos lalu dan berakhir pada 9 Oktober lalu.
“Kerajaan sudah memantau selama 70 hari secara tersusun mengenai perkembangan itu dan sekarang sedang berunding dengan kerajaan Nepal untuk mengenal pasti senarai mangsa yang hilang untuk diisytiharkan berdasarkan ordinan yang disebutkan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau turut menekankan kepentingan penggunaan aplikasi sistem e-Konsular oleh rakyat Malaysia yang berada di luar negara dan mungkin berdepan dengan masalah.
“Kadang-kadang masyarakat ataupun rakyat Malaysia ini tidak begitu gemar ataupun tidak mempunyai pemahaman mengenai kepentingan penggunaan sistem itu.
“Namun, untuk memastikan ramai yang menyedari kepentingan sistem itu, Wisma Putra akan sentiasa memberikan komitmen dan sedang merangka pelbagai usaha untuk mempergiatkan pendaftaran rakyat Malaysia,” katanya.
Mengulas keperluan peruntukan bagi membantu rakyat Malaysia yang berdepan masalah di luar negara, beliau berkata, kerajaan mempunyai Kumpulan Wang Amanah Rakyat untuk menampung kos tertentu, khususnya bagi mereka yang disahkan menjadi mangsa penipuan atau terperangkap dalam sindiket.
Beliau memberi contoh seperti kes penipuan pekerjaan dalam talian yang menyebabkan rakyat Malaysia terperangkap dan diugut di luar negara, sehingga memerlukan campur tangan kerajaan untuk menyelamatkan serta membawa mereka pulang.
“Bagaimanapun, kerajaan tidak akan menanggung kos perundangan atau perbelanjaan individu yang didapati melakukan kesalahan di negara berkenaan.
“Mengenai penahanan 130 rakyat Malaysia di Pakistan yang dikaitkan dengan kegiatan penipuan siber, wakil negara sudah memastikan kebajikan mereka terpelihara, termasuk dari segi kesihatan serta bekalan makanan dan minuman.
“Kerajaan juga menawarkan cadangan bantuan guaman kepada mereka, namun bantuan kewangan tidak diberikan kepada individu yang didapati melakukan kesalahan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




