am@hmetro.com.my
Yan: “Sepatutnya mak dan ayah tengok saya berdiri di atas pentas menerima ijazah, bukannya saya melihat mereka masuk dalam liang lahad.”
Ini luahan pilu Husna Syakirah Abd Halim, 23, yang tidak dapat menahan kesedihan selepas kehilangan ibu dan bapanya dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak, semalam.
Ketika itu, ibu bapa serta abangnya dalam perjalanan untuk menghadiri Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kelantan.
Lebih menyayat hati, Allahyarham bapanya, Abd Halim Bakar, 64, dikatakan baru membeli kamera digital dengan hasrat untuk merakam detik bersejarah anak bongsunya itu menerima ijazah di atas pentas, namun kamera itu turut rosak dan patah dalam nahas berkenaan.
Husna Syakira berkata, kenangan terakhir bersama ibu bapanya masih segar dalam ingatan apabila abangnya semalam menghubunginya pada 1.20 tengah hari, kira-kira 20 minit sebelum kejadian berlaku.
Menurutnya, ketika itu ibu bapanya bersama ahli keluarga lain berhenti di kawasan Banjaran Titiwangsa sebelum abangnya bertanyakan sama ada makanan sudah disediakan di atas meja.
“Saya beritahu baru hendak keluar membeli makanan sebelum abang menghalakan panggilan video itu kepada mak.
“Saya nampak wajah mak ketika itu bercahaya dan berseri-seri sambil ketawa melihat saya. Itu kali terakhir saya berhubung dengan mereka,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Singkir Laut, di sini, hari ini.
Husna Syakirah berkata, ketika itu dia keluar membeli kasut di sebuah pusat beli-belah selepas menyewa sebuah inap desa untuk keluarga yang dalam perjalanan menghadiri majlis konvokesyennya.
Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu pada 2.30 petang, dia menerima panggilan daripada kakaknya yang memaklumkan mengenai kemalangan itu.
“Saya masih berada di kawasan parkir pusat beli-belah ketika menerima panggilan kakak dan ada individu yang berada di lokasi kejadian membuat panggilan video dengan kakak sebelum memaklumkan mak dan ayah sudah tiada.
“Selepas itu, dia menunjukkan keadaan abang saya yang terbaring tidak bergerak. Saya terus meraung apabila mendengar berita itu,” katanya.
Husna berkata, dia semakin sebak apabila melihat barangan yang dibawa ibu bapanya termasuk kamera digital milik bapanya yang dibeli khas untuk merakam majlis konvokesyennya rosak.
Menurutnya, ibunya juga sanggup membeli pakaian dan kasut baharu semata-mata mahu melihat anak bongsunya itu menerima ijazah.
“Mak memang teruja nak tengok saya konvokesyen. Dia sanggup belikan baju dan kasut baharu untuk hadir ke majlis itu.
“Apabila melihat barang-barang mereka ada kesan darah, saya terlalu sedih. Sepatutnya mereka ada bersama saya pada hari paling bermakna dalam hidup ini.
“Saya anak keenam daripada enam beradik dan saya juga anak terakhir yang akan bergraduasi. Saya tahu mak dan ayah sangat gembira,” katanya yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kepujian Logistik Perdagangan dan Pengedaran UMK.
Husna berkata, dia rapat dengan kedua-dua ibu bapanya, malah pesanan mereka supaya bekerja dengan baik, tidak melakukan perkara tidak elok dan pandai menjaga diri sentiasa menjadi ingatannya.
Katanya, dia kini bekerja sebagai pembantu jualan di Mont Kiara, Kuala Lumpur selepas menamatkan pengajian.
Sementara itu, abangnya, Muhammad Syazwan Hakimi, 28, yaang turut mengalami kecederaan dalam kemalangan itu kini menerima rawatan di Hospital Taiping, Perak dan sudah mengetahui ibu bapa mereka sudah tiada.
Husna Syakirah turut berkata, meskipun ditawarkan untuk meneruskan konvokesyen yang akan berakhir Khamis ini, namun dia tidak berhasrat untuk meneruskannya kerana ibu bapanya sudah tiada.
© New Straits Times Press (M) Bhd




