am@hmetro.com.my
Butterworth: Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi komited membantu syarikat industri media yang kini berdepan dengan tekanan ekonomi sehingga terpaksa memberhentikan pekerja khususnya pengamal media.
Menterinya Fahmi Fadzil berkata, isu ekonomi yang semakin menekan industri media pada ketika ini seharusnya diberi perhatian serius dan perlu dibincangkan segera.
Katanya, ia memberi tekanan besar langsung kepada syarikat media apabila platform media sosialnya tidak membantu memberi sama ada imbuhan ataupun bayaran setimpal dengan jumlah kandungan yang disiar.
“(Ditambah) dengan jumlah tontonan ataupun pembaca yang mendapatkan maklumat yang dijana, dihasilkan oleh media arus perdana tetapi diletakkan dalam media sosial.
“Saya harap MMM boleh mengadakan perbincangan dengan platform media sosial di pihak kerajaan dan kami bersedia bagi membantu dalam proses ini.
“Tetapi penting bagi media sosial memahami bahawa perubahan yang sedang berlaku termasuk sebaran berita palsu, kandungan yang bersifat pindaan dan laporan tertentu khususnya contoh laporan berkaitan tingkah laku bunuh diri,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Mengulas lanjut Fahmi berkata, bagi pihak media, laporan dilakukan dengan beretika tetapi kadang kala kandungannya sama ada yang dicuri ataupun dimuat naik sendiri oleh mereka yang berada di lokasi, tidak menepati garis panduan dan tahap etika kewartawanan.
“Maka kita harap ada perbincangan dan saya akan panjangkan juga hasrat ini kepada platform media sosial.
“Di pihak kerajaan, kita juga berharap beberapa aspek dapat membantu kalangan syarikat media,” katanya lagi.
Terdahulu, beliau ditemui di Sesi Dialog bersama Menteri Komunikasi dan Media sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Hotel Crowne Plaza, di sini.
Mengulas mengenai isu pemberhentian pekerja susulan perubahan penguasaan media sosial dalam kalangan syarikat media, Fahmi berkata, kerajaan kini sedaya upaya sedang mencari penyelesaian dalam menangani permasalahan itu.
“Nak buat apa-apa yang membabitkan pekerja itu datang jumpa saya dan saya tengok macam mana saya boleh buat.
” Kalau Telco (syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi) yang besar pun saya bantu, apatah lagi rakan-rakan media ini.
“Boleh beritahu kepada saya (jika ada masalah), tetapi janganlah esok nak umum (pemberhentian pekerja) hari ini baru nak beritahu. Janganlah,” katanya yang turut merujuk kepada pemegang taruh berkaitan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




