RANAU – Kerajaan akan menambah baik mekanisme pelaksanaan penyaluran subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) menerusi beberapa keputusan yang dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lalu
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, empat keputusan utama telah dipersetujui bagi memperkemaskan mekanisme pelaksanaan penyaluran subsidi diesel tersebut.
“Antara keputusan diambil ialah peluasan kelayakan bagi kenderaan jenis jip dan pikap di bawah SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan ke seluruh negara berbanding hanya untuk kawasan Cameron Highland sebelum ini.
“Sehubungan itu, syarikat-syarikat sektor pengangkutan darat barangan di seluruh negara yang memiliki kenderaan jip dan pikap boleh mula membuat pendaftaran SKDS berkuat kuasa 1 Jun 2026,” katanya dalam sidang akhbar di Kundasang di sini pada Sabtu.
Armizan berkata, kerajaan turut memutuskan untuk memperluaskan manfaat subsidi diesel melalui SKDS kepada kenderaan jip dan pikap digunakan bagi tujuan pengangkutan darat barangan, termasuk yang sebelum ini didaftarkan atas nama individu, tertakluk kepada kelulusan perubahan pendaftaran kenderaan kepada nama syarikat.
“Sehubungan itu, pengguna individu yang terlibat dalam aktiviti pengangkutan darat barangan digalakkan membuat pendaftaran syarikat dan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan pendaftaran perniagaan di Sabah dan Sarawak pula adalah melalui pihak berkuasa yang ditetapkan mengikut undang-undang negeri.
“Pemohon juga perlu memenuhi syarat-syarat kelayakan lain seperti memindahkan hak milik kenderaan daripada kategori individu kepada syarikat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata, kerajaan turut bersetuju melakukan pelarasan had kuota tetap SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan bagi memperkukuh mekanisme kawal selia serta penguatkuasaan dalam usaha mengekang ketirisan subsidi dan penyalahgunaan fleet kad.
“Setiap fleet kad akan mempunyai kuota tetap di antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan, tertakluk kepada had kuota yang ditetapkan bagi setiap 23 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan.
“Jumlah had kuota ini ditetapkan berpandukan analisis penggunaan jenis pengangkutan dalam dua tahun terkini tempoh pelaksanaan SKDS. Pelarasan kadar kuota tetap bagi setiap fleet kad akan berkuat kuasa pada 1 Jun 2026,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga membenarkan pertimbangan rayuan pertambahan kuota tetap bagi penggunaan melebihi had yang ditetapkan melalui Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP) yang diurusetiakan oleh KPDN.
Katanya, permohonan rayuan boleh dikemukakan secara dalam talian melalui e-mel mysubsidi@kpdn.gov.my atau secara fizikal di kaunter KPDN berhampiran.
“Pertimbangan akan diteliti mengambil kira justifikasi keperluan sebenar operasi dan rekod penggunaan bulanan sedia ada dalam sistem SKDS sepanjang tempoh bermulanya kelulusan pendaftaran bagi kenderaan yang terlibat.
“KPDN juga menggalakkan syarikat-syarikat sektor pengangkutan darat awam, sektor pengangkutan darat barangan dan sektor pengangkutan awam air yang belum memanfaatkan subsidi petrol dan diesel untuk membuat pendaftaran SKPS dan SKDS,” katanya.
Kaedah permohonan dan syarat-syarat kelayakan boleh disemak melalui portal MySubsidi di pautan mysubsidi.kpdn.gov.my, tambahnya.
“Semua syarikat yang telah berdaftar dan mendapat manfaat subsidi bahan api melalui SKPS dan SKDS diingatkan agar bertanggungjawab terhadap setiap fleet kad yang diperolehi melalui syarikat-syarikat minyak.
“Sebarang penyalahgunaan akan berdepan tindakan tegas termasuk penggantungan fleet kad secara serta-merta selain syarikat terlibat akan disenaraihitamkan,” katanya.



