am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Sebanyak 110 bas yang membawa lebih 4,000 penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) berlepas dari seluruh negeri ini ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pagi tadi, bagi menyaksikan final Piala Malaysia malam ini.
Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak JDT, Mohd Fadzli Sapie berkata, daripada jumlah itu, lapan bas berkonvoi dari Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, di sini, manakala selebihnya bergerak dari beberapa lokasi berbeza setiap daerah.
Katanya, konvoi terbesar itu juga turut disertai kelab penyokong Boys Of Straits (BOS) bagi menyaksikan perlawanan akhir menentang Kuching City FC (KCFC).
“Jumlah bas yang bergerak dari Johor Bahru sebanyak 30 bas manakala selebihnya dari Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan daerah lain termasuk daripada gugusan Felda.
“Alhamdulillah, cuaca hari ini sangat baik dan harapnya perjalanan kita juga lancar. Semua penyokong sudah bersemangat nak ke Bukit Jalil bagi menyaksikan final antara JDT dan KCFC,” katanya ketika ditemui hari ini.
Mohd Fadzli berkata, pihaknya menjangkakan antara 30,000 hingga 33,000 penyokong JDT akan membanjiri SNBJ malam ini bagi memberi sokongan buat skuad Harimau Selatan.
Mengulas mengenai perlawanan akhir itu, beliau menjangkakan aksi sengit bakal dipamerkan kedua-dua pasukan walaupun di atas kertas JDT dilihat memiliki kelebihan.
“Saya harap perlawanan yang baik. Kita tahu kualiti pemain import dan kekuatan JDT memang berada pada tahap terbaik.
“Tetapi semangat pihak lawan yang pertama kali beraksi di final serta aura perlawanan akhir itu sendiri akan menjadikan game ini cukup sengit. Kalau ikut atas kertas, saya rasa JDT boleh menang 3-1,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




