Kerajaan Terengganu pandang serius pemasangan iklan mengandungi ayat kurang bermoral

Kerajaan Terengganu pandang serius pemasangan iklan mengandungi ayat kurang bermoral

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kerajaan Terengganu memandang serius berhubung pemasangan iklan yang mengandungi ayat-ayat yang kurang bermoral dan tidak sesuai dipaparkan di tempat awam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai iklan berkenaan.

Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan tindakan segera sudah diambil oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebaik sahaja aduan diterima.

Katanya, semakan mendapati permit bagi pemasangan bunting berkenaan diluluskan berdasarkan bahan yang dikemukakan ketika permohonan.

“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati bunting yang dipasang di lokasi adalah berbeza daripada reka bentuk yang dikemukakan untuk kelulusan.

“Susulan itu, pihak yang bertanggungjawab kemudian dihubungi dan diminta mengambil tindakan segera menurunkan bunting berkenaan pada hari yang sama selepas menerima teguran daripada pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kemudiannya mengesahkan bahawa iklan berkenaan sudah diturunkan sepenuhnya dan tidak lagi dipamerkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri menegaskan bahawa sebarang kelulusan permit adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang sudah ditetapkan.

Wan Sukairi berkata, mana-mana pihak yang didapati mempamerkan bahan iklan yang berbeza daripada yang diluluskan atau melanggar syarat permit boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang prihatin dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kandungan iklan di ruang awam sentiasa mematuhi nilai kesopanan, moral serta menghormati sensitiviti masyarakat,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus memperketat pemantauan terhadap pemasangan iklan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan permit atau melanggar syarat yang telah ditetapkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top