MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada 1 Ogos ini, perhatian saat-saat akhir kempen tertumpu kepada konteks peningkatan jumlah pengundi muda dan pengundi kali pertama yang bakal menggunakan hak demokrasi masing-masing.
Dengan pelaksanaan sistem pendaftaran automatik pengundi bagi rakyat berusia 18 tahun ke atas, lebih ramai golongan muda kini menjadi sebahagian daripada daftar pemilih, sekali gus memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju politik dan pembangunan Negeri Sembilan.
Rata-rata pengundi muda mendambakan wakil rakyat dengan rekod kepimpinan yang bersih dan menunjukkan hasil kepada kerajaan negeri, bukannya retorik pada perbuatan mahupun percakapan semata-mata.
Bagaimanapun timbul persoalan dari sudut sejauh mana kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min memberi dampak terhadap pembangunan kerajaan Negeri Sembilan dan kemampuannya meyakinkan pengundi di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)?
Bagi pelajar, N Krishalini, 22, ketelusan dan keprihatinan Aminuddin dalam memenuhi keinginan rakyat membuatkan pengundi muda yakin menteri besar itu layak menerajui kerajaan Negeri Sembilan untuk penggal seterusnya.
Pengundi DUN Pilah tersebut berkata, ia dibuktikan dengan inisiatif khas buat pengundi muda dan kali pertama antaranya Bantuan Sara Hidup Dermasiswa Mahasiswa Anak Negeri Sembilan sebanyak RM200 sebulan, pemberian komputer riba percuma untuk pelajar B40 yang layak serta sokongan persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan.
“Sejak Tok Min menerajui kerajaan negeri dari 2018, kami anak muda melihat macam-macam perubahan. Rakyat menganggap beliau betul-betul serius, berani dan prihatin dengan mengambil kira suara penduduk.
“Baru-baru ini pembukaan Seremban Sentral dan peningkatan kekerapan komuter Seremban-Kuala Lumpur, itu cukup memudahkan rakyat Negeri Sembilan lebih-lebih lagi pelajar seperti saya yang berulang alik ke sana untuk menghadiri kelas di kampus pengajian.
“Boleh dikatakan kerajaan Tok Min memang telus dan bukan ‘tipu-tipu punya orang’. Apa yang rakyat mahukan, kalau kena dengan cara dan kelayakan mesti dapat,” katanya kepada Sinar Ahad.
Pengundi DUN Bahau, Loh Jin Xiong, 23, pula berkata, dia yang bakal mengundi buat kali kedua amat menghargai kepimpinan Aminuddin kerana sentiasa memberikan perhatian terhadap kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang dan kaum.
Tambah pemuda tersebut, bantuan diperkenalkan merangkumi pelbagai peringkat masyarakat termasuk bayi, mahasiswa, golongan belia yang baru berkahwin, warga emas serta pesakit kanser.
Sebagai contoh, program Aspirasi Kelahiran Baharu 2026, Aspirasi Bantuan Belia Berkahwin 2026, Aspirasi Bantuan Warga Emas 2026, Bantuan Kanser Negeri Sembilan 2026, Bantuan Kewangan Institusi Pengajian Awam (IPT) 2026 serta Anugerah Siswazah Kelas Pertama dengan insentif RM5,000.
“Selaku mahasiswa universiti, saya sendiri merasai manfaat daripada bantuan yang diberikan. Ia sangat meringankan beban kewangan dan membolehkan saya memberi tumpuan kepada pelajaran.
“Saya melihat Datuk Seri Aminuddin sebagai pemimpin yang prihatin terhadap keperluan rakyat, khususnya golongan muda dan tiada sebab untuk saya tidak menyokong beliau,” ujarnya.
Pembantu pemasaran, Mohamad Rafee Darmawan, 31, pula berpendapat bahawa ekonomi Negeri Sembilan berada pada tahap membanggakan, lebih-lebih lagi ramai pelabur asing merasa yakin untuk melabur dan membuka industri perkilangan serta pusat data di negeri tersebut.
Menurutnya, kepimpinan Aminuddin mengubah landskap negeri meskipun belum mencecah usia 10 tahun pentadbiran, berbeza dengan sebelum 2018 di mana Negeri Sembilan terutamanya Juasseh di bawah Kuala Pilah yang bagaikan tiada apa-apa usaha untuk merancakkan ekonomi di kawasan berkenaan.
“Tok Min banyak bawa masuk pelabur ke Negeri Sembilan, sekali gus memberi peluang pekerjaan untuk orang muda.
“Kalau tak silap pelaburan meningkat dari RM1.14 bilion (2017) kepada RM54.3 bilion (2025), lonjakan hingga 47 kali ganda yang bagi saya sangat luar biasa.
“Justeru, saya yakin dengan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan kerana parti ini komited dalam membawa kestabilan politik,” ujarnya.



