Kerap Berlakon Bersama, Sheila Dara Tepis Dakwaan Wujud Hubungan Istimewa Bersama Dion Wiyoko – “Kami Macam Ayah & Anak”

Kerap Berlakon Bersama, Sheila Dara Tepis Dakwaan Wujud Hubungan Istimewa Bersama Dion Wiyoko – “Kami Macam Ayah & Anak”

Gara-gara kerap digandingkan bersama dalam naskhah lakonan, bintang utama filem terbaharu Indonesia berjudul Sore, Sheila Dara Aisha tampil memberikan respons susulan dakwaan yang mengatakan wujudnya hubungan istimewa antara dirinya dan Dion Wiyoko.

Kata Sheila, 33, filem Sore adalah naskhah ke lapan lakonannya bersama Dion sekali gus menegaskan tidak wujud hubungan istimewa antara mereka berdua memandangkan kedua-duanya juga sudah mendirikan rumah tangga.

Tambahnya, penonton juga tidak sepatutnya melihat keakraban mereka berdua dalam konteks ‘hubungan istimewa’ atau pasangan kekasih.

“Saya rasa kalau dalam kehidupan sebenar, penonton Indonesia nampak kami seperti ayah dan anak,” katanya.

Sheila Dara berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada sesi bertemu peminat pelakon filem Sore: Istri Dari Masa Depan yang berlangsung di Kenangan Coffee, TRX, pada Selasa.

Dalam pada itu, Dion tidak menolak bahawa terdapat segelintir penonton yang terbawa-bawa dengan lakonan mereka sehingga wujudnya dakwaan sedemikian.

“Kami sering digandingkan malah dalam kehidupan sebenar juga kami kerap bersama dan berjumpa. Jadi mungkin kerana hal itu orang awam menilai sedemikian.

“Malah, kami juga sudah terbiasa berlakon bersama, penonton melihat kami berdasarkan karakter yang dibawa dalam projek yang dijayakan sehingga mereka tidak melihat secara nyata(kehidupan sebenar),” jelasnya.

Sekadar info, filem Sore mengisahkan Jonathan (Dion Wiyoko) yang kehidupannya berubah apabila hadirnya Sore (Sheila Dara Aisha), wanita asing yang mengaku isterinya dari masa depan.

Setiap usaha Sore membantu Jonathan mencetuskan ‘time loop’ yang membuatnya mati dan terpaksa mengulangi kejadian sama berulang kali.

Filem lakonan Dion Wiyoko dan Sheila Dara Aisha arahan serta tulisan Yandy Laurens, terbitan Cerita Films, bakal menemui penonton di Malaysia bermula 25 September 2025.

Sejak ditayangkan pada 10 Julai lalu, filem ini sudah meraih kutipan box office lebih USD9 juta di Indonesia dan kini berada di tangga keenam filem tempatan terlaris 2025.

Menariknya, ia juga dipilih sebagai wakil rasmi Indonesia ke Oscars 2026 bagi kategori Best International Feature Film.

Scroll to Top