Kereta langgar pembahagi jalan, sembilan PATI ditahan

Kereta langgar pembahagi jalan, sembilan PATI ditahan

TUMPAT: Polis menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar selepas kereta jenis Proton Preve yang dinaiki mereka melanggar pembahagi jalan di kawasan terowong berhampiran Jambatan Sultan Yahya Petra di sini awal pagi kelmarin.

Kesemua migran yang terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita itu ditahan pada pukul 4.30 pagi ketika cuba melarikan diri selepas dikejar unit kereta peronda (MPV) polis.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, ketika melakukan rondaan rutin, anggota MPV mengesan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, ketika cuba menahan kereta berkenaan, pemandu bertindak memecut laju sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

“Pemandu kereta tersebut kemudiannya melarikan diri. Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan sembilan PATI di dalamnya.

“Semakan mendapati kenderaan terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu. Pemeriksaan lanjut mendapati semua penumpang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Khairi berkata, semua migran itu dipercayai memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua PATI itu direman selama 14 hari bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.-UTUSAN

Scroll to Top