Kerja pengukuhan struktur binaan masih giat dilakukan

Kerja pengukuhan struktur binaan masih giat dilakukan

Kuala Lumpur: Setakat 5.30 petang hari ini, kerja pengukuhan struktur binaan di lokasi tiga maut apabila komponen kren gantri jatuh di tapak binaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Jalan Alam Damai, Cheras, di sini, semalam masih giat dilakukan.

Kerja pengukuhan struktur itu perlu dilakukan sebelum operasi mengeluarkan mayat mangsa ketiga dilaksanakan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, kerja penstabilan U Beam dengan menggunakan I Beam sedang dilakukan sebelum dapat melakukan angkatan pada komponen kren yang menghempap mangsa.

“Proses penstabilan dilakukan menggunakan I beam support sebelum angkatan dapat dilakukan dengan kren mudah alih dan seterusnya mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya menerusi satu kenyataan ringkas hari ini.

Difahamkan, pasukan penyelamat perlu mengambil masa untuk meneliti langkah-langkah yang akan dilakukan bagi mengelakkan berlakunya runtuhan membabitkan struktur sedia ada yang dihempap oleh komponen kren.

Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian mendapati kerja menstabilkan struktur sedang giat dilakukan dengan beberapa pertambahan dapat dilihat di bahagian atas struktur termasuk kerja-kerja kimpalan yang masih berjalan.

RAZIZ. FOTO Amir Abd Hamid

Sementara itu, Presiden Persatuan Pekerja Mahir Kren Menara Malaysia (Perkrema Malaysia) Raziz Abdul Rahman berkata, usaha pasukan penyelamat termasuk anggota bomba di lokasi wajar dipuji kerana tidak tergesa-gesa bertindak untuk mengeluarkan mayat mangsa.

“Ramai tanya kenapa lambat mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit namun tindakan mereka ini (pasukan penyelamat) wajar dipuji kerana menitik beratkan aspek keselamatan awam.

“Jika mereka tergesa-gesa dan memotong sahaja komponen kren yang menghempap mangsa ini, mungkin akan berlaku perkara lain tidak diingini seperti runtuhan susulan yang sudah pasti buruk akibatnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, tinjauan yang dilakukan pihaknya di lokasi mendapati proses pengeluaran mayat mangsa yang tersepit dijangka akan mengambil masa lebih lama memandangkan pasukan penyelamat perlu melakukannya secara berfasa.

“Saya difahamkan proses mengalihkan komponen kren yang jatuh itu perlu melalui sebanyak enam fasa dan kini mereka baru menyempurnakan dua fasa jadi kita jangkakan ia akan mengambil masa yang agak lama,” katanya sambil menjelaskan kemungkinan ambil tempoh 14 jam sehingga enam fasa.

Berita berkaitan:

  • Proses keluarkan mayat ketiga insiden komponen kren jatuh diteruskan
  • Pasang lebih banyak papan tanda amaran di kawasan pembinaan SUKE
  • Komponen kren jatuh: Identiti mangsa dikenal pasti
  • Usaha mengeluarkan mayat terakhir masih dijalankan
  • Jalan perlu ditutup jika alih struktur berat – Fadillah [METROTV]
  • Kaji punca kemalangan di tapak pembinaan – PPJK [METROTV]
  • 3 maut tragedi komponen kren gantri terjatuh [MetroTV]
  • Scroll to Top