Kerjasama Atomy Malaysia-Yayasan Chow Kit perkasa kebajikan kanak-kanak

Kerjasama Atomy Malaysia-Yayasan Chow Kit perkasa kebajikan kanak-kanak

KUALA LUMPUR – Atomy Malaysia menjalin kerjasama strategik menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama Yayasan Chow Kit bagi menyokong kanak-kanak rentan di Kuala Lumpur melalui pelbagai inisiatif berkaitan kesihatan, kebersihan dan kesejahteraan harian.

Kerjasama tersebut disokong menerusi sumbangan bernilai RM150,000 yang merangkumi bantuan tunai, produk serta sokongan program kepada yayasan berkenaan.

Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama itu telah dimeterai antara Pengasas Yayasan Chow Kit, Datuk Dr. Hartini Zainudin dan Pengarah Atomy Malaysia, Anna Kim.

Majlis menandatangani MoU tersebut berlangsung sempena program Success Academy bulanan Atomy Malaysia yang menghimpunkan ahli-ahli syarikat bukan sahaja untuk tujuan pembelajaran perniagaan, malah turut menyaksikan pelaksanaan inisiatif kebajikan berteraskan semangat perkongsian.

Pengarah Atomy Malaysia, Anna Kim berkata, kerjasama tersebut mencerminkan budaya perkongsian yang menjadi antara nilai teras syarikat serta terus membentuk identiti dan misi sosial Atomy Malaysia.

Anna Kim (dua dari kiri) bersama dan Dr. Hartini (dua dari kanan), memegang Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai simbolik kerjasama strategik antara kedua-dua pihak, sambil disaksikan oleh Haizam dan Ananti.

Anna Kim (dua dari kiri) bersama dan Dr. Hartini (dua dari kanan), memegang Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai simbolik kerjasama strategik antara kedua-dua pihak, sambil disaksikan oleh Haizam dan Ananti.

Menurutnya, selain menawarkan produk berkualiti dan peluang perniagaan kepada ahli, Atomy Malaysia turut komited melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti, khususnya golongan yang memerlukan.

“Melalui kerjasama ini, program akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan harian kanak-kanak termasuk aspek nutrisi, penjagaan kesihatan mulut dan kebersihan diri.

“Bagi kanak-kanak daripada komuniti rentan, akses kepada penjagaan asas kesihatan dan kebersihan mampu memberikan impak positif terhadap keyakinan diri, keselesaan serta kualiti hidup mereka,” katanya.

Sokongan Ikhlas Buat Yayasan Chow Kit! Kelihatan ahli Atomy Malaysia memberikan sokongan padu dengan membeli cenderamata kraf tangan (handmade) unik hasil kreativiti anak-anak Yayasan Chow Kit.

Sokongan Ikhlas Buat Yayasan Chow Kit! Kelihatan ahli Atomy Malaysia memberikan sokongan padu dengan membeli cenderamata kraf tangan (handmade) unik hasil kreativiti anak-anak Yayasan Chow Kit.

Sebagai sebahagian daripada usaha CSR tersebut, Atomy Malaysia turut memperkenalkan aktiviti amal “Buy One, Donate One” semasa program Success Academy.

Menerusi inisiatif itu, bagi setiap pembelian Cleansing Travel Kit atau Kids Toothbrush, syarikat akan menyumbangkan satu unit tambahan secara terus kepada Yayasan Chow Kit.

Anna berkata, pendekatan yang ringkas namun bermakna itu membolehkan ahli-ahli Atomy Malaysia turut serta dalam usaha kebajikan dan menyalurkan keprihatinan kepada kanak-kanak yang memerlukan.

“Program ini juga mencerminkan falsafah pengurusan Atomy Malaysia iaitu ‘Beyond Customer Success’.

“Ia menunjukkan bahawa Atomy bukan sahaja memberi tumpuan kepada pertumbuhan perniagaan atau keuntungan semata-mata, sebaliknya berusaha mewujudkan nilai positif kepada individu, keluarga dan masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Yayasan Chow Kit yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perlindungan kanak-kanak dan kebajikan komuniti akan membantu melaksanakan program tersebut bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Satu Pembelian, Sejuta Senyuman! Atomy Malaysia melancarkan kempen CSR

Satu Pembelian, Sejuta Senyuman! Atomy Malaysia melancarkan kempen CSR “Buy One, Donate One” sempena Success Academy baru-baru ini. Melalui kempen ini, setiap pembelian Cleansing Travel Kit atau Kids Toothbrush, syarikat akan menyumbangkan satu unit produk tambahan yang disalurkan terus kepada Yayasan Chow Kit.

Sehingga kini, Atomy Malaysia telah menyumbang sebanyak RM7.5 juta kepada komuniti yang memerlukan menerusi pelbagai inisiatif CSR yang dilaksanakan.

Anna menegaskan, syarikat akan terus memperkukuh pelaksanaan program CSR sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporatnya dengan memberi tumpuan kepada usaha yang mampan serta mampu membawa penjagaan, harapan dan impak positif kepada komuniti yang memerlukan.

Scroll to Top