am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak Asean ke-46 adalah hasil bukti kecekapan, dedikasi dan semangat berpasukan luar biasa jentera kerajaan serta sokongan padu rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kelancaran keseluruhan urusan sepanjang sidang kemuncak yang berlangsung selama dua hari itu adalah hasil kerjasama erat antara pelbagai agensi, daripada sektor keselamatan dan pengurusan acara hingga ke barisan hadapan perkhidmatan awam.
“Saya lihat di semua peringkat, anak-anak kita, penjawat awam, semuanya hebat. Dari lapangan terbang, perbarisan, polis, imigresen, Malaysia Airports (Holdings Berhad), pengurusan hotel, Kementerian Luar yang menyelaras, sehinggalah Jabatan Perdana Menteri yang mengurus protokol.
“Saya pun pening dengan protokol, tapi saya ikut apa yang pegawai arahkan kepada perdana menteri. Kenapa? Sebab kita negara yang ada peraturan dan bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sidang Kemuncak Asean ke-46 yang berakhir pada 27 Mei lalu menyaksikan beberapa siri pertemuan peringkat tinggi diadakan, bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dan memperluas perkongsian strategik dalam pelbagai bidang.
Antara mesyuarat utama termasuk Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Sidang Kemuncak Asean-GCC-China pertama.
Mengulas lanjut, Anwar turut menekankan pentingnya keputusan kolektif dalam kalangan pemimpin Asean yang tidak menjejaskan kepentingan mana-mana negara anggota.
Ia termasuk dalam menentukan keputusan berhubung penyertaan Timor Leste sebagai anggota Asean dan isu tarif Trump.
“Setiap negara ada strategi sendiri termasuk hubungan dua hala. Tapi kita juga mahu pertahankan kepentingan 650 juta populasi Asean.
“Jangan ada keputusan yang diambil Malaysia merugikan negara lain, atau sebaliknya. Kita bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd