2 suspek kes simbah asid dibebaskan dengan jaminan polis

2 suspek kes simbah asid dibebaskan dengan jaminan polis

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Dua suspek yang dipercayai terbabit dalam kes simbah asid membabitkan pengusaha spa di Bachok pada 17 Mei lalu dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata dua-dua suspek masing-masing seorang lelaki dan perempuan dibebaskan semalam.

“Setakat ini suspek belum dituduh sebaliknya dibebaskan dengan jaminan polis dahulu sementara menunggu laporan daripada Jabatan Kimia dan Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kedua-dua suspek dibebaskan petang semalam. Manakala seorang lagi suspek masih lagi dijejaki,” katanya ketika dihubungi.

Pada 17 Mei lalu, seorang pengusaha spa disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali dalam kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Tawang.

Akibat serangan itu, mangsa melecur teruk pada bahu, belakang, lengan dan kaki dan kini menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

Susulan kes itu, dua suspek ditahan masing-masing berusia 38 dan 45 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top