aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketika barisan perseorangan lelaki negara terus menjadi sasaran kritikan, pemain perseorangan wanita, K Letshanaa tampil meredakan tekanan itu apabila melakar kejutan terbesar dalam kariernya dengan menyingkirkan pilihan ketiga kejohanan, Tomoka Miyazaki dari Jepun untuk mara ke suku akhir Masters Malaysia, hari ini.
Pemain ranking ke-32 dunia itu mempamerkan aksi cukup meyakinkan apabila menewaskan pemain ranking kesembilan dunia berkenaan 21-15, 21-17 dalam tempoh 45 minit di Arena Unifi, Bukit Jalil, sekali gus mencipta kemenangan pertama ke atas pemain kelompok 10 terbaik dunia.
Lebih manis, kemenangan itu menamatkan rekod buruk Letshanaa terhadap Tomoka selepas tewas dalam dua pertemuan terdahulu termasuk di Terbuka Jerman, Februari lalu.
Pemain berusia 23 tahun itu turut mengakui kejayaan berkenaan menjadi satu titik perubahan penting dalam kariernya selepas mara ke separuh akhir Masters Indonesia, Januari lalu sebelum tewas kepada pemain Thailand, Pitchamon Opatniputh.
“Bagi saya ini satu breakthrough yang baik untuk diri saya dan kategori perseorangan.
“Saya tidak membandingkan diri dengan rakan sepasukan lain kerana fokus saya adalah bersaing dengan pemain luar negara.
“Saya harap kemenangan ini dapat memberi keyakinan kepada rakan sepasukan saya,” katanya.
Menurut Letshanaa, perubahan dalam corak permainannya yang kini lebih agresif bukan berlaku secara mendadak, sebaliknya hasil usaha berterusan bersama jurulatih.
“Kami sudah lama usahakannya. Sekarang mungkin orang boleh nampak perubahan dari segi fizikal, corak permainan dan mental.
“Saya rasa perkara paling besar berubah adalah kepercayaan terhadap diri sendiri dan mindset ketika menentang pemain utama dunia,” katanya.
Kejayaan itu turut menyaksikan Letshanaa menjadi pemain perseorangan wanita pertama negara mara ke suku akhir Masters Malaysia sejak Goh Jin Wei melakukannya pada 2019 sebelum tewas kepada wakil Thailand, Ratchanok Intanon di separuh akhir.
Letshanaa akan bertemu pemain Jepun, Hina Akechi yang menewaskan wakil China, Han Qian Xi 21-16, 21-17 bagi perebutan tiket ke separuh akhir.
Mengulas aksi suku akhir esok, Letshanaa berkata, dia tidak mahu meletakkan tekanan terlalu tinggi ke atas dirinya walaupun sedar cabaran bakal dihadapi tetap sukar tidak kira siapa lawannya nanti.
“Tak ada perlawanan yang mudah bila sudah sampai ke suku akhir. Saya cuma mahu berikan yang terbaik dan beri tentangan sengit.
“Kami tidak letak tekanan mesti menang, tetapi saya mahu nikmati permainan dan lihat bagaimana hasilnya nanti,” katanya
© New Straits Times Press (M) Bhd




