John idam lakar sejarah juara regu berpasukan Piala Dunia

John idam lakar sejarah juara regu berpasukan Piala Dunia

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perejam negara, Hafizul Hayazi Adnan atau ‘John’ mengakui peluang beraksi di Piala Dunia Sepak Takraw 2026 membuka ruang terbaik buat dirinya mencipta sejarah bersama skuad kebangsaan di depan penyokong sendiri.

Menurut Hafizul Hayazi, Malaysia masih belum pernah muncul juara Piala Dunia berpasukan dan dia mahu menjadi sebahagian daripada generasi pemain yang mampu mengubah sejarah itu.

“Malaysia belum pernah menang acara berpasukan di Piala Dunia dan saya harap tahun ini kita dapat buktikan kepada peminat sepak takraw yang kita mampu menang emas,” kata pemain berusia 31 tahun itu.

Katanya, peluang membuat penampilan sulung di pentas dunia cukup bermakna buat dirinya walaupun masih dibayangi rasa gugup ketika turun beraksi.

“Alhamdulillah saya dapat diturunkan untuk bermain (pemain gantian menentang India semalam).

“Memang rasa gementar sikit sebab ini Piala Dunia pertama saya,” katanya.

Hafizul Hayazi mengakui tekanan bermain di laman sendiri jauh lebih besar berbanding ketika beraksi di luar negara kerana harapan peminat terhadap skuad negara terlalu tinggi.

“Kalau main di tempat lawan kita rasa lebih bebas, tetapi bila bermain di tanah air sendiri memang ada tekanan daripada penyokong.

“Bagaimanapun, tekanan itu tidak melemahkan semangat, sebaliknya dijadikan pembakar motivasi untuk terus membuktikan kemampuan sebenar,” katanya.

Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah memperbaiki rentak permainan dan memanfaatkan setiap peluang diberikan jurulatih.

“Untuk set kedua tadi (semalam) saya rasa saya dah buat yang terbaik.

“Untuk perlawanan selepas ini saya akan cuba buat lebih baik lagi,” kata pemain kelahiran Negeri Sembilan itu.

Hafizul Hayazi turut percaya keserasian bersama rakan sepasukan kini semakin baik hasil latihan berterusan di kem negara.

“Saya rasa semua pemain sudah serasi sebab kami sudah lama berlatih bersama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top