Sultan Selangor titah kerajaan negeri terus utamakan kesejahteraan rakyat

Sultan Selangor titah kerajaan negeri terus utamakan kesejahteraan rakyat

Kuala Lumpur: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan supaya Kerajaan Negeri Selangor terus mengutamakan kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata Sultan Sharafuddin menitahkan perkara itu ketika berkenan menerima menghadap beliau dan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar di Istana Alam Shah, Klang.

Amirudin berkata beliau turut membentangkan perkembangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor, yang dirangka bagi membantu rakyat dan sektor perniagaan yang terkesan akibat krisis di Asia Barat.

“Semoga Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor terus dikurniakan afiyah dan kesihatan yang baik, kebijaksanaan, taufik dan hidayah, kekal qarar bersemayam menaungi Negeri Selangor dengan penuh kedaulatan dan kemuliaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada 16 April lepas, Amirudin melancarkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dengan memperuntukkan RM130.42 juta sebagai langkah jangka segera dan sederhana untuk membantu rakyat serta industri menghadapi krisis tenaga global.

Pakej berkenaan antaranya bertujuan mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan, mengurangkan kos sara hidup rakyat selain mengawal inflasi daripada meningkat secara keterlaluan.

Menurut Amirudin, pakej itu juga bertujuan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam serta memberikan bantuan bersasar kepada golongan paling terkesan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top