Letupan tong gas helium ragut nyawa lelaki, dua lagi cedera

Letupan tong gas helium ragut nyawa lelaki, dua lagi cedera

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Kejadian letupan yang dipercayai dari tong gas helium di tapak ekspo berhampiran Dataran Jam Besar, di sini malam ini yang menyebabkan seorang maut, turut mencederakan dua mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Siti Norafiza Mohd Noh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 7.52 malam.

Beliau yang mengetuai sepasukan lapan anggota dari BBP Sungai Petani serta dibantu Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Badrul Hisham Hassan tiba di lokasi selepas menerima panggilan letupan tong gas helium.

“Komander Operasi melaporkan tiba di lokasi jam 8.05 malam dan letupan membabitkan satu unit tong gas helium yang digunakan untuk mengisi belon kanak-kanak bertujuan untuk perniagaan.

“Dua mangsa iaitu remaja lelaki berusia 15 tahun dan seorang lelaki berusia 46 tahun cedera, manakala seorang lelaki berusia 42 tahun pula disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Siti Norafiza berkata, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM dan mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Media sebelum ini melaporkan, satu kejadian letupan gas dipercayai membabitkan tong gas helium berlaku di tapak ekspo Dataran Jam Besar, di sini, meragut nyawa seorang lelaki berusia lingkungan 42 tahun.

Difahamkan, dalam kejadian sekitar 7.53 malam itu, dua lagi mangsa masing-masing berusia sekitar 15 dan 46 tahun dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top