'Kerjasama GRS di Sabah bukti rakyat diutamakan'

'Kerjasama GRS di Sabah bukti rakyat diutamakan'

bhnews@bh.com.my

KOTA KINABALU: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semangat Sabah Maju Jaya yang dibentuk menerusi kerjasama pelbagai parti politik dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh dijadikan contoh dalam usaha mengukuhkan kerjasama pelbagai parti di peringkat Persekutuan.

Perdana Menteri berkata, GRS yang membentuk kerajaan negeri selepas memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) pada 26 September tahun lalu, adalah jalinan politik terbaik membabitkan pelbagai parti yang dibentuk demi perjuangan untuk rakyat.

Beliau berkata, keupayaan GRS yang merangkumi parti komponen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu menjadi petunjuk kerjasama politik boleh dijayakan jika ada kesungguhan dan tidak banyak bermain politik.

“Saya lihat Sabah istimewa, Sabah menjadi contoh terbaik sebab jalinan GRS ada PN, BN, PBS dan parti lain.

“Ini petanda dan petunjuk kerjasama politik boleh dijayakan kalau ada kesungguhan dan tidak banyak main politik, sebaliknya tumpukan kepada apa yang rakyat mahu.

“Kalau ini dapat dipanjangkan ke seluruh Semenanjung, itulah yang sepatutnya (dilakukan),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Projek Pembangunan Lok Kawi Resort City dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Inisiatif Pelaburan Asing dan Domestik, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam; serta Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi politik di peringkat Persekutuan ketika ini, termasuk spekulasi kononnya berlaku perbincangan mengenai kerjasama di antara UMNO dan PKR.

Muhyiddin turut menyatakan sokongan terhadap usaha Hajiji bersama rakan pemimpin lain di negeri itu termasuk Bung Moktar selaku Ketua UMNO Sabah, Jeffrey selaku Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili serta pemimpin lain untuk mengukuhkan GRS.

“Ini adalah contoh klasik. Kalau kita bersungguh-sungguh membela rakyat, ini contoh yang baik,” katanya.

GRS adalah gabungan pelbagai parti yang merangkumi komponen PN, BN dan PBS yang dibentuk ketika PRN Sabah pada September lalu dalam usaha untuk mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) ketika itu.

Pemimpin semua parti dalam GRS sebelum ini menyatakan komitmen masing-masing untuk terus bersama dan mengukuhkan lagi kedudukan gabungan itu ketika situasi politik di Semenanjung menunjukkan ketidaktentuan.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN, berkata belum ada perbincangan rasmi mengenai perkara itu dan soal pembahagian kerusi termasuk di Sabah.

“Perkara mengenai PRU ada disebut dalam perbincangan tetapi tidak secara spesifik, hanya secara santai kerana saya mahu tumpuan di Sabah ialah melaksanakan apa yang rakyat mahu selepas PRN lalu.

“Rakyat Sabah sudah memberikan mandat dan sekarang fokus kita adalah untuk menunaikan apa yang dijanjikan, ia paling utama.

“Soal PRU, apabila sampai masa yang sesuai barulah kita bincang secara lebih serius,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top