Kerjasama Malaysia Airlines, JDT FC, MFL dilanjutkan

Kerjasama Malaysia Airlines,  JDT FC, MFL dilanjutkan

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines terus menyokong sukan tempatan dengan melanjutkan kerjasama strategik bersama Johor Darul Ta’zim Football Club (JDT FC) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk tempoh beberapa tahun lagi.

Perjanjian itu menekankan kesungguhan syarikat penerbangan nasional terbabit dalam memupuk semangat kebangsaan melalui sokongan terhadap bola sepak tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan, Malaysia Aviation Group (MAG), Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, pihaknya gembira dengan kerjasama berkenaan.

“Kami sangat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama ini dengan JDT FC dan MFL.

“Keputusan ini mencerminkan komitmen kami untuk menyokong sukan tempatan, serta memperkukuhkan hubungan dengan peminat melalui jenama kami.

“Kami yakin kerjasama ini akan memperkasakan lagi pembabitan kami dengan komuniti dan terus merayakan kejayaan bersama,” katanya dalam kenyataan.

Perjanjian kerjasama itu ditandatangani antara Ketua Pegawai Komersial Airlines daripada Malaysia Aviation Group (MAG), Dersenish Aresandiran, dengan wakil dari JDT FC dan MFL.

Malaysia Airlines juga sudah melanjutkan kerjasamanya dengan JDT FC selama dua tahun lagi, sehingga 2026.

Dengan pelanjutan ini, syarikat penerbangan itu akan terus memberikan sokongan logistik dan usaha pemasaran bersama, yang seterusnya memperluas capaian Malaysia Airlines dalam kalangan peminat bola sepak di Malaysia dan serantau.

Selain melanjutkan kerjasama dengan JDT FC, Malaysia Airlines juga melanjutkan kerjasama dengan MFL selama tiga tahun lagi, sehingga 2027.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top