KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) melihat kerjasama antara Pas dan UMNO ketika ini lebih menjurus kepada usaha mendapatkan kuasa, terutama untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Pemuda Amanah, Ahmad Shahir Mohd Shah berkata, kedua-dua parti itu dilihat mempunyai satu persefahaman dalam usaha tersebut, namun persoalannya bagaimana mahu meletakkan kedudukan masing-masing sebagai parti yang masih mempunyai prinsip dan mempertahankan prinsip asal mereka.
“Atau mereka hanya boleh bekerjasama untuk mendapatkan kuasa, selepas itu baru bincang macam mana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Barisan Nasional (BN) tidak akan menyerahkan mana-mana kerusi yang dimenanginya kepada parti lain selepas BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021.
Berdasarkan analisis Ilham Centre, sekiranya undi Parlimen dipecahkan mengikut DUN, Perikatan Nasional (PN) menang di 10 DUN manakala BN hanya memperoleh empat.
Ilham Centre berpandangan tuntutan PN terhadap lebih banyak kerusi boleh menimbulkan cabaran kepada BN yang mahu mempertahankan kesemua 21 kerusi dimenanginya pada PRN Melaka 2021.
Jika BN mahu mempertahankan kesemua 21 kerusi berkenaan, hanya tujuh kerusi berbaki untuk ditandingi PN.
Dalam pada itu menurut Ahmad Shahir, agenda yang dibawa Pas dan UMNO ketika ini juga banyak berkisar mengenai penyatuan Melayu, namun beliau mempersoalkan kelompok Melayu mana yang mahu disatukan kedua-dua parti berkenaan.
“Cuma kita pun tidak tahu segmen Melayu mana yang mereka hendak satukan. Cuma mereka menjadikan itulah bahan modal dia lah, sebagai titik untuk mereka bersama.
“Perkembangan itu menunjukkan Pas dan UMNO lebih menumpukan usaha membina kekuatan politik serta mendapatkan kuasa berbanding memperlihatkan dengan jelas prinsip dan agenda asal yang selama ini diperjuangkan.
“Kerjasama Pas dan UMNO perlu dilihat bukan semata-mata sebagai usaha penyatuan Melayu, sebaliknya strategi politik untuk membentuk kekuatan bersama bagi menghadapi Anwar dan kerajaan pimpinannya,” tegasnya. – Awani
