PUTRAJAYA: Malaysia dan Vietnam komited untuk terus melaksanakan kerjasama terangkum dan komprehensif di bawah Pelan Tindakan (POA) 2021-2025 Pelaksanaan Perkongsian Strategik Malaysia-Vietnam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam usaha meningkatkan perkongsian strategik antara kedua-dua negara, pendekatan menyeluruh digariskan, baik di peringkat kerajaan dengan kerajaan, mahupun di masyarakat perniagaan serta hubungan rakyat dengan rakyat.
Beliau berkata, ia antaranya kerjasama pasca pandemik Covid-19 merangkumi pengiktirafan sijil vaksinasi secara timbal balas selepas Vietnam telah pun mengiktiraf sijil vaksinasi Malaysia pada Ogos tahun lalu selain mengambil kira negara berkenaan menggunakan jenis-jenis vaksin sama yang diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Di samping itu, kedua-dua negara bersetuju mengadakan integrasi aplikasi MySejahtera Malaysia dengan PC COVID Vietnam,” kata Perdana Menteri dalam sidang akhbar sempena lawatan sulung beliau ke negara berkenaan dan segala cadangan yang diutarakan disambut baik pemimpin-pemimpin Vietnam.
Menurut Ismail Sabri, Vietnam merupakan rakan dagang ke-4 terbesar Malaysia dalam ASEAN, dan ke-11 di peringkat global, selain perdagangan dua hala pada tahun lalu merekodkan nilai A$16.7 bilion sekali gus menunjukkan peningkatan memberangsangkan sebanyak 41.6 peratus berbanding 2020.
Kata beliau, sebelum ini, kedua-dua negara menetapkan sasaran nilai dagangan AS$18 bilion menjelang 2025 dan bersetuju menetapkan sasaran lebih tinggi, namun nilai sasaran itu masih kecil berbanding potensi besar yang dimiliki Malaysia dan Vietnam.
Beliau menjelaskan, ini mengambil kira nilai dagangan global Malaysia yang melepasi RM2 trilion (AS$477 bilion), sementara nilai dagangan global Vietnam hampir mencecah AS$650 bilion.
“Persefahaman dicapai supaya Mesyuarat ke-4 Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) diadakan dalam masa terdekat bagi menetapkan hala tuju tentang sasaran perdagangan dua hala dan meneliti hasrat Vietnam untuk mencapai keseimbangan dagangan dengan Malaysia.
“Vietnam semalam mengemukakan permintaan bekalan petroleum dan gas tambahan dari Malaysia. Dalam hal ini, mengambil kira kerjasama baik dan kepentingan industri petroleum dan gas Malaysia, kita bersetuju sebagai langkah permulaan untuk membekalkan 300,000 barrel petroleum (RON95) kepada Vietnam,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Pelaburan Malaysia di Vietnam bernilai AS$13 bilion dan Malaysia merupakan pelabur asing ke-9 terbesar di peringkat global dan ke-2 di peringkat ASEAN.
Justeru, beliau mengambil peluang menjemput pelabur-pelabur Vietnam untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia dengan bidang yang boleh diterokai termasuk pendigitalan, smart manufacturing dan keselamatan siber.
Perdana Menteri berkata, Malaysia telah pun mengadakan kerjasama strategik di antara Institut Automotif, Robotik & IoT Malaysia (Malaysia Automotive, Robotics and Internet of Things Institute – MARii) dan FPT Software Vietnam untuk membangunkan Centre of Excellence for Future Industry (CoEFI) bernilai hampir RM100 juta dalam bidang automotif, Connected Mobility, Robotik, Internet of Things (IoT) dan pendigitalan.
“Saya juga menyambut baik dan berterima kasih kepada FPT Software yang amat komited untuk melatih 1,000 tenaga kerja Malaysia dalam pembangunan dan kejuruteraan perisian bermula tahun ini di Kuala Lumpur dan Sabah,” katanya.
Berhubung industri halal, Vietnam menyatakan minat untuk meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam membangunkan industri halal mereka dan Malaysia sedia menawarkan kepakaran dan khidmat nasihat kepada Vietnam termasuk syarikat-syarikat negara itu yang berminat.
Katanya, kerjasama yang telah pun bermula itu akan diambil tindakan susulan sewajarnya oleh Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Halal Development Corporation (HDC).
“Saya secara spesifik membangkitkan potensi kerjasama halal dengan Vietnam dalam peluang membekalkan makanan halal semasa Sukan SEA 2021 yang akan dihoskan Vietnam pada Mei ini selain menyatakan kesediaan Malaysia menawarkan produk-produk perbankan Islam untuk mempromosikan dan mengembangkan ekosistem industri Halal di Vietnam,” katanya.
Pada masa sama, menjelang sambutan Jubli Emas sempena ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara kedua negara, Ismail Sabri mencadangkan supaya kedua-dua negara menganjurkan program-program sesuai sebagai memperingati detik bersejarah itu.
Beliau turut mencadangkan pertukaran lawatan peringkat tertinggi sempena sambutan ulang tahun tersebut yang akan dimulai lawatan negara Presiden Vietnam, Nguyen Xuan Phuc ke Malaysia dalam tahun ini. – UTUSAN




