Kerjasama tamat: Kedudukan ADUN BERSATU Kelantan timbul tanda tanya

Kerjasama tamat: Kedudukan ADUN BERSATU Kelantan timbul tanda tanya

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Status Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU di Kelantan terletak sepenuhnya atas budi bicara PAS susulan kerjasama dua parti itu ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, ia berikutan mereka sebagai ADUN dari BERSATU bertanding dan menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu atas tiket PAS.

Mohamed Farid yang juga ADUN Kok Lanas berkata, dia sendiri bukan lagi ahli BERSATU apabila dipecat parti, 11 Mei lalu.

“Mengikut kefahaman saya, status ADUN BERSATU di Kelantan terletak sepenuhnya kepada budi bicara PAS kerana kami dahulunya bertanding dan menang atas tiket PAS.

“ADUN BERSATU yang ada sekarang adalah penyokong tegar Tan Sri Muhyiddin Yassin. Malah, dikalangan mereka juga ada yang memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri.

“Kedudukan mereka kita serahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Menteri Besar, Speaker dan pimpinan PAS negeri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Naib Peesiden PAS yang juga Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung perkara terbabit.

“Tunggu dan lihat,” katanya.

Terdahulu, PAS secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta.

Ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat malam kelmarin selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top